Adenan  menerima kaligrafi bertulis ‘Quan Min Shou Zhang’ yang bermaksud Ketua Menteri Untuk Rakyat Sarawak ketika sambutan ulang tahun ke-85 penubuhan SJK (C) Thai Kwang, semalam.
Adenan menerima kaligrafi bertulis ‘Quan Min Shou Zhang’ yang bermaksud Ketua Menteri Untuk Rakyat Sarawak ketika sambutan ulang tahun ke-85 penubuhan SJK (C) Thai Kwang, semalam.
myMetro

Sibu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta untuk membantu sekolah persendirian Cina di negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, sebagai ketua kerajaan negeri, beliau tahu masyarakat Cina mementingkan pendidikan dan ia dibuktikan dengan pembukaan sekolah persendirian di merata tempat di negeri ini.

“Saya tak boleh bayangkan 85 tahun dulu masyarakat Cina membuka sekolah di sini, mungkin mereka bermula dengan bangunan kecil dengan puluhan pelajar, tetapi kini sekolah itu menjadi sekolah terbaik di Sibu dengan hampir 1,000 pelajar.

“Ini menunjukkan masyarakat Cina berpandangan jauh,” katanya berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-85 penubuhan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Thai Kwang, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, beliau mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk sekolah itu sebagai sokongan kerajaan negeri kepada sekolah persendirian Cina di negeri ini.

Selain memberikan dana untuk sekolah persendirian Cina, beliau berkata, kerajaan negeri mengumumkan pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di negeri ini seperti terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11.

“Saya juga bercakap dengan Kerajaan Pusat untuk mengiktiraf UEC di peringkat nasional.

“Saya bercakap dengan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak), dia kata boleh, tetapi beberapa kurikulum perlu diubah sedikit seperti perkara berkaitan sejarah dan memasukkan bahasa Malaysia,” katanya.

Hadir sama pada program itu calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong Datuk Tiong Thai King dan calon BN DUN Bawang Assan yang juga Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh.

Pada majlis itu, Adenan menerima cenderamata tulisan kaligrafi Cina berbunyi ‘Quan Min Shou Zhang’ yang bermaksud Ketua Menteri untuk Rakyat.

Mengenai senario politik negeri, Adenan berharap komuniti Cina kembali menyokong calon BN kerana beliau tidak dapat menubuhkan kerajaan yang baik tanpa wakil masyarakat berkenaan.

“Sejak 1970-an, kestabilan politik di Sarawak terjamin dengan kerjasama antara PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) dan SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak), kestabilan ini kerana masyarakat Cina ada dalam kerajaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 8:24 AM