Oleh Noorazura Abdul Rahman

Pasir Puteh: Pemain import Kelantan boleh ditamatkan kontrak jika tidak mempamerkan prestasi cemerlang dalam tempoh enam bulan saingan Liga Malaysia musim ini.

Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa (gambar) berkata, menerusi kontrak baru itu, notis sebulan akan diberikan terlebih dulu kepada pemain dengan bayaran gaji selama dua bulan berbanding setahun gaji yang terpaksa dibayar KAFA mengikut kontrak lama sebelum ini.

Katanya, kontrak baru itu selaras dengan perbelanjaan RM5 juta daripada bajet RM16 juta bagi mendapatkan pemain import selain membayar gaji dan menyediakan kemudahan kepada mereka.

“Untuk (kontrak) semua pemain import kami akan masukkan klausa baru yang mana dalam tempoh enam bulan pertama kalau mereka bermain tidak seperti diharapkan, KAFA boleh memberi notis satu bulan dan membayar gaji dua bulan saja.

“Langkah itu diambil kerana kami mahu mengekalkan prestasi pasukan, tak nak macam yang lalu, tukar pemain yang lama kena bayar gaji setahun, yang baru pun nak kena bayar, akhirnya kami tersangkut di situ.

“Syarat itu sudah dipersetujui oleh pemain import itu sendiri bagi memberi jaminan supaya pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) mampu membawa pulang piala musim ini,” katanya selepas Program Pelancaran Bot Penyelamat Khadam 01 di Pasar Lama Tok Bali di sini, semalam.

Dalam pada itu Annuar memaklumkan pemain PQPTRW secara rasmi akan diperkenalkan malam ini termasuk pemain import Dramane Traore (Mali), Blazhe Ilijoski (Macedonia), Jonatan Lucca (Brazil) dan Jonathan McKain (Australia).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 7:18 AM