Annuar (bersongkok) menyerahkan cek kepada Nik Aminaldin (dua dari kiri) disaksikan Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail (dua dari kanan).FOTO NSTP/SYAMSI SUHAIMI
Annuar (bersongkok) menyerahkan cek kepada Nik Aminaldin (dua dari kiri) disaksikan Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail (dua dari kanan).FOTO NSTP/SYAMSI SUHAIMI
Oleh Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berjaya melunaskan gaji tertunggak lima bekas pemainnya berjumlah RM355,000 di sini hari ini.

Majlis Penyerahan Cek Kepada Lima Bekas Pemain Kelantan itu disempurnakan oleh Presidennya Tan Sri Annuar Musa kepada Bendahari KAFA Nik Aminaldin Nik Jaafar.

Annuar berkata, wang itu diperoleh selepas beliau nekad membuat pinjaman bercagar dengan pihak bank kerana tidak mahu KAFA berdepan ancaman denda atau penyingkiran daripada Liga Super dengan tempoh berbaki 10 hari menjelang tarikh akhir diberi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melangsaikan tunggakan itu.

"Saya tak kisah apa orang nak kata asalkan KAFA dapat menjelaskan kesemua hutang kepada lima bekas pemain Kelantan mengikut tarikh akhir yang ditetapkan FAM.

"Duit itu akan dibayar terus kepada FAM untuk diberikan kepada lima pemain terbabit dan saya anggap kemelut tunggakan gaji itu selesai," katanya dalam sidang media di sini, tadi.

Lima bekas pemain Kelantan yang belum menerima tunggakan gaji adalah Ahmad Fakri Saarani, Amar Rohidan, Muhammad Nazri Ahmad, Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohd Fitri Omar yang menamatkan kontrak mereka bersama KAFA untuk menyertai pasukan lain musim ini.

Sebelum itu, Annuar memaklumkan, pihaknya turut berjaya melangsaikan masalah gaji kepada empat pemain importnya, Blazhe Ilijoski, Wanderer Luiz, Morgaro Lima Gomis dan Jonathan McKain termasuk ketua jurulatih, Velizar Popov berjumlah RM344,000 tiga hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 10:04 PM