TRAORE (kiri) gagal menyerlah.
TRAORE (kiri) gagal menyerlah.
Rodly Fadly


Kuala Lumpur: Jodoh Dramane Traore bersama Kelantan berakhir apabila penyerang import dari Mali itu menerima notis penamatan kontrak daripada Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini.

Perkara itu disahkan ejen pemain berkenaan, Mohd Alif Azilan yang memberitahu penamatan kontrak itu akan berkuat kuasa pada 24 Jun ini dengan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

“Ya, saya boleh sahkan KAFA sudah menamatkan kontrak Traore. Pemain itu kini masih di Kota Baharu untuk menyelesaikan beberapa perkara sebelum merancang hala tuju seterusnya.

“Setakat ini belum ada perancangan mengenai kelab baru yang bakal disertai Traore. Tapi, apa yang pasti dia tidak akan mewakili mana-mana kelab dalam Liga Malaysia sehingga akhir musim walaupun kami ada menerima tawaran daripada beberapa pasukan.

“Ini kerana peraturan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) yang tidak membenarkan mana-mana pemain import mewakili dua kelab dalam satu musim. Tapi, jika FAM meminda peraturan itu apabila pintu perpindahan dibuka pada pertengahan bulan ini, Traore masih berminat untuk terus bermain di sini bersama kelab lain.

“Traore menerima keputusan KAFA dengan hati terbuka kerana sepanjang bersama pasukan itu, dia menerima layanan baik. Malah, tidak timbul masalah gaji tertunggak walaupun seperti diketahui persatuan itu sedang menghadapi masalah kewangan terutama tuntutan gaji pemain musim sebelum ini,” ujar Alif.

Sementara itu, Traore ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkembangan dirinya.

Traore menyertai Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) pada awal musim dengan reputasi sebagai pemenang Kasut Emas Liga Super 2015 selepas menjaringkan 20 gol ketika bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Malah, dia bertekad untuk mengulangi kecemerlangan itu dengan sasaran mempertahankan gelaran penjaring terbanyak di samping membantu Kelantan memenangi salah satu kejuaraan musim ini.

Bagaimanapun selepas mengharungi 12 perlawanan, dia gagal menyerlah dan hanya mampu menghasilkan tiga gol. Malah, kehadiran jurulatih baru, Velizar Popov, menggantikan K Devan juga gagal melonjakkan karier Traore.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 9:21 AM