BUNNY Chow enak dinikmati pada bila-bila masa.
BUNNY Chow enak dinikmati pada bila-bila masa.
Oleh Aniza Zainudin


Sekeping roti dengan ketebalan empat inci, berlubang di bahagian tengah dipenuhi limpahan kari ayam, resipi asli dari kota Durban, Afrika Selatan menjadi sajian unik buat pengunjung Cafe Lapis.

Dihidangkan dalam saiz besar, ‘Bunny Chow’ juga boleh dinikmati bersama kari daging mahupun kambing. Kari bertekstur pekat memiliki rasa yang enak dan berbeza dengan gaya penyediaan kari Malaysia.

Penggunaan tairu bersama santan segar dan krim membuatkan rasa kari sedikit masam, dalam masa sama, ia berfungsi melembutkan daging.

Menggantikan daun kari dengan halba, jintan putih, jintan manis dan rempah lain, menghasilkan satu aroma yang lazat sekali gus membangkitkan selera.

Menurut pemilik Cafe Lapis, Syed Ibrahim Abas, resipi ‘Bunny Chow’ diperoleh daripada rakyat Afrika Selatan bagi me­ngekalkan cita rasa asli untuk dikongsikan bersama peminat makanan antarabangsa.

“Kafe ini diusahakan bersama isteri dan adik ipar, Syarifah Ruzana dan Syed Nasir Syed Ahmad. Kami mendapat inspirasi untuk membawa makanan unik dunia ke Malaysia apabila kerap melancong ke luar negara.

“Kita bukan saja menyajikan menu Afrika Selatan, bahkan hidangan berasal dari Mediterranean, benua Eropah serta Amerika Syarikat (AS).

“Menu berasal dari Perancis, ‘Monte Cristo’ adalah sajian popular Cafe Lapis sejak memulakan operasi sejak dua tahun lalu.

“Monte Cristo adalah sandwich yang mengandungi kepingan daging ‘beacon’, ayam turki, keju dan salad.

“Bagi melengkapkan perisa, kami menggunakan jem kaya bersama cili bagi menggantikan sos asal iaitu jem beri biru dan buah pic.

“Jem ini dihasilkan sendiri oleh Cafe Lapis dan ia disesuaikan dengan cita rasa rakyat tempatan.

“Jika di Perancis, mereka memanggang ‘Monte Cristo’ tetapi kita menggorengnya bersama serbuk roti, menjadikan sandwich ini lebih garing,” katanya.

Hidangan diterbangkan dari Maghribi, ‘Meatball Pasta’ turut memiliki keunikan tersendiri apabila bebola memiliki dua cita rasa kerana ia gabungan daging lembu dan kambing bersama campuran rempah, ‘ras el hanout’.

‘Meatball Pasta’ ini disempurnakan dengan kombinasi sos tomato, cili paprika dan rempah yang mempunyai rasa pedas dan sedikit masam.

Terbaru, Cafe Lapis tampil dengan hidangan AS, ‘Steak Sandwich’ bersama sos BBQ ‘housemade’.

Jelasnya, sos BBQ dihasilkan mengikut selera Malaysia apabila menggunakan asam jawa dan buah nanas sebagai pati utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 5:00 AM