HIDANGAN kambing panggang, lambretta antara yang istimewa di Kafe Big Bos.
HIDANGAN kambing panggang, lambretta antara yang istimewa di Kafe Big Bos.
Muhammad Shalaby Shahbuddin


Bagi orang ramai yang inginkan makanan ala Barat dengan kesempurnaan iaitu segar, berkualiti, ‘portion’ besar serta harga berpatutan, Big Bob Cafe adalah lokasi pilihan harus dikunjungi.

Bukan saja menampilkan makanan berkualiti, konsep kafe santai dan klasik British itu mampu memberikan ketenangan kepada pengunjung.

Pengusahanya, Khairul Ikhwan Azhar, 29, berkata, Big Bob Cafe mula dibuka di Jalan Dagangan 2, Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas pada Julai 2014 sebelum cawangan kedua dibuka di Medan Perniagaan Pauh Jaya, Jalan Baru, Prai pada Ogos 2015 dengan ruang lebih luas, santai dan memberi keselesaan kepada pelanggan terutama seisi keluarga.

Beliau berkata, bukan sahaja keselesaan dan ketenangan dalam menjamu selera mampu dikecapi pelanggan ke kafe keduanya itu, malah setiap bahan makanan bagi menu disediakan turut memfokuskan ke arah penjagaan kesihatan dan dijamin kualitinya.

“Sebagai contoh, dalam masakan spageti, kami menggunakan minyak zaitun, sekali gus menghidangkan makanan kesihatan bagi mereka yang menjamu selera di sini.

“Selain itu, antara bahan mentah berkualiti tinggi digunakan dalam menu hidangan stik ialah daging import dari New Zealand menjadikan teksturnya lembut dan enak dinikmati pelanggan,” katanya.

Khairul Ikhwan berkata, saiz dalam setiap menu ditampilkan cukup berbaloi dan pasti memuaskan hati pelanggan misalnya lambretta yang menampilkan daging kambing bersaiz agak besar iaitu 250 gram (g) dan beef burger bersaiz 220g.

Menurutnya, menu pembuka selera utama adalah sup cendawan berharga RM7.90 apabila ia menggunakan cendawan dan ramuan krim berkualiti bersama roti bawang segar buatan sendiri yang dihasilkan setiap dua hari.

“Menu terawal menaikkan nama Big Bob Cafe adalah crab and potato salad iaitu kulit ubi kentang digoreng panas hingga rangup dan campuran isi ketam segar diletakkan di bahagian atasnya bersama mayonis, bawang, cabai merah dan perasa yang secukupnya bagi menimbulkan rasa lazat.

“Bagi menu pasta pula, cheesy chicken macaroni berharga RM21.90 dimasak menggunakan sos krim putih bersama campuran perasa serta herba tradisi oregano selain keju mozzarella ditabur di bahagian atasnya untuk memberikan kelazatan ketika menikmatinya,” katanya.

Khairul Ikhwan berkata, spaghetti meatballs turut menjadi tarikan apabila ia memiliki keenakan campuran ramuan rempah istimewa dan tekstur dagingnya dibuat serta dikisar sendiri menghasilkan nikmat rasa yang cukup enak.

Beliau berkata, bagi penggemar daging kambing, lambretta adalah menu terbaik dengan harga RM27.90 dan ia menggunakan paha kambing yang diperap semalaman dan diadun dengan tiga rempah asas iaitu thyme, rosemary, oregano selain dipanggang bersama rempah dan sos lada hitam tersendiri.

“Bagi yang meminati masakan Melayu, empat hidangan utama seperti nasi daging, nasi ayam hainan, nasi kambing bakar dan nasi daging masak cabai turut disediakan dengan harga bermula RM12.90 hingga RM23.90 selain menu kanak-kanak iaitu crispy chicken fritters berharga RM8.90 manakala tortilla wrap berharga RM19.90 turut disediakan.

“Antara minuman wajib dicuba adalah ice blended dan smoothies antaranya Ribena and lychee frosty, oreo smoothie, chocolate milkshake dan banyak lagi yang tidak mempunyai rasa terlalu manis selain dihiasi dekorasi cukup mengujakan,” katanya.

Khairul Ikhwan berkata, sempena Ramadan, Big Bob Cafe bakal menyediakan nasi maqluba yang boleh dinikmati dengan ayam, daging dan kambing bersama dalca ayam, sup rempah dan salatah berkonsepkan set talam untuk empat hingga enam orang bermula dari harga RM65 hingga RM89.90 termasuk aneka minuman diberikan percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 2:19 PM