Pertemuan KJ dengan Sultan Ibrahim dan TMJ hari ini. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Pertemuan KJ dengan Sultan Ibrahim dan TMJ hari ini. FOTO ihsan Johor Southern Tigers
Mohd Sabran Md Sani


SULTAN Johor Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menerima menghadap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin di Istana Bukit Pelangi pada petang hari ini .

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan menerima menghadap Khairy.

Pertemuan Sultan Ibrahim dan anakandanya Tunku Ismail dengan Khairy itu dikongsikan menerusi gambar di Facebook Johor Southern Tigers.

Sepuluh keping gambar itu memperlihatkan Khairy menghadap Sultan Ibrahim, selain Tunku Ismail dan berbincang di meja di istana berkenaan.

Bagaimanapun, tiada penerangan mengenai intipati pertemuan berkenaan.

Sultan Ibrahim sebelum ini mencabar Khairy dan pasukan Sukan SEA yang diwakilinya bertanding polo bersama pasukan negeri itu.

Sultan Ibrahim bertitah, pasukan yang bertanding untuk sukan polo di Temasya Sukan Sea 2017 ibarat hanya untuk mencukupkan syarat pertandingan sahaja dan datang dengan handicap rendah serta mudah dikalahkan.

Titah baginda dipetik menerusi laman FB Johor Southern Tigers, malah Sultan Ibrahim bertitah berkemungkinan akan turut serta dalam pasukan Johor selain menghantar dua anakandanya serta dua orang penjaga kuda.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda pernah menyertai pertandingan di serata dunia termasuk Piala Dunia ketika baginda menjadi Tunku Mahkota.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 9:49 PM