M Hifzuddin Ikhsan


PIMPINAN PAS belum memuktamadkan siapa calon bakal dilantik menjadi Menteri Besar Kedah baharu berikutan perbincangan masih dilakukan.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kedah dan pimpinan negeri, hari ini.

Katanya, perjumpaan turut membabitkan dua wakil UMNO iaitu ADUN Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob.

"Hari ini (pimpinan) jumpa ADUN PAS dan UMNO Kedah. Bincang macam-macam perkara (termasuk) urusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dan sebagainya.

"Calon Menteri Besar terserah kepada Tuanku (Sultan Kedah), sekarang masih ada Menteri Besar. Buat masa ini (Datuk Seri) Mukhriz (Mahathir) masih Menteri Besar," katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah di Alor Setar, hari ini.

AHMAD Samsuri. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Samsuri. FOTO Arkib NSTP

Mengulas mengenai bila PAS akan memohon menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, beliau memaklumkan tidak mengetahui perkara itu.

Terdahulu, Ahmad Samsuri dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengadakan pertemuan bersama kepimpinan PAS dan Umno Kedah dipercayai bagi membincangkan peralihan kuasa kerajaan negeri.

Turut hadir, Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Yahaya dan Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Takiyuddin yang diminta mengulas mengenai calon Menteri Besar turut menyerahkan perkara itu kepada Sultan Kedah, manakala Ahmad Samsuri memaklumkan pertemuan berkenaan adalah sesuatu yang positif.

Rabu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Mukhriz.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dan Umno yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan ADUN PH.

Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (7), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (6), Parti Amanah Negara (4), DAP (2) dan Umno (2).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:36 PM