MUKHRIZ (tiga kanan)  bersama Mahfuz (empat kanan) hadir di Perhimpunan Sokong Mukhriz Mahathir Kekal sebagai Menteri Besar di Perkarangan Stadium Darulaman pada 1 Februari. FOTO fail NSTP Sharul Hafiz Zam
MUKHRIZ (tiga kanan) bersama Mahfuz (empat kanan) hadir di Perhimpunan Sokong Mukhriz Mahathir Kekal sebagai Menteri Besar di Perkarangan Stadium Darulaman pada 1 Februari. FOTO fail NSTP Sharul Hafiz Zam
Ahmad Saufi Mansor


Alor Setar: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menafikan dakwaan mempunyai kepentingan politik apabila memberi sokongan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa hari ini.

Sebaliknya, Mahfuz berkata, kunjungan beliau terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hitam terbabit adalah atas dasar simpati sebagai sahabat dan rakyat negeri Kedah tanpa mencampuri urusan politik UMNO.

Menurutnya, beliau juga tidak gembira atas peletakan jawatan Mukhriz yang disifatkan tiada pilihan selepas tidak mendapat sokongan majoroti di kalangan ADUN negeri.

"Orang (rakyat) bertanya kenapa mencampuri urusan UMNO, (tetapi) ini (peletakan jawatan sebagai Menteri besar) bukan (masalah) UMNO, (namun) kalau nak buang sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO, itu hak mereka.

"Tetapi nak buang (Menteri Besar) secara tidak demokratik bukan urusan UMNO, ini urusan negeri yang menjadi tanggungjawab seluruh rakyat (untuk) ambil berat, (dan) saya datang bukan sebagai ahli politik tetapi sebagai rakyat Kedah.

"Saya percaya dia (Mukhriz) ambil langkah itu (meletak jawatan) kerana rasa sayangkan negeri dan rakyat," ketika ditemui selepas mengunjungi Mukhriz di kediaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Titi Gajah, Kepala Batas, di sini, hari ini.

Difahamkan, isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut berada di rumah berkenaan untuk memberi sokongan moral kepada anaknya.

Menurutnya, beliau datang bukan kerana kepentingan politik, tetapi atas prinsip keadilan yang harus ditegakkan.

"Tidak boleh seseorang tanpa ada kesalahan yang munasabah untuk disingkirkan secara tidak demoratik, (kerana) tiada keadilan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 3:48 PM