Kuala Lumpur: Penyerang Selangor Paulo Rangel lebih berminat menyelesaikan isu dengan majikannya, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terlebih dulu berbanding memikirkan hasrat Terengganu yang ingin mendapatkan khidmatnya.

Malah, penyerang kelahiran Brazil yang sudah melanjutkan kontrak bersama Selangor itu mengakui dia tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

“Saya tidak tahu mengenai minat Terengganu. Keutamaan saya ketika ini menyelesaikan masalah dengan Selangor dan hanya selepas itu baru saya akan bercakap dengan pasukan lain,” kata penjaring terbanyak Liga Super 2014 dengan 16 gol.

Terengganu sebelum ini dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Rangel seandainya pemain berkenaan mahu meninggalkan Selangor.

Isu membabitkan Rangel dan FAS timbul selepas penyerang berkenaan meluahkan kekecewaannya menerusi media sosial berhubung bayaran yuran tandatangan (signing fees) sejak melanjutkan kontrak kira-kira tiga bulan lalu.

FAS menerusi Timbalan Presiden Datuk Mokhtar Ahmad menjelaskan baki RM200,000 akan dijelaskan pihaknya penghujung bulan ini sebelum kontrak barunya bermula secara rasmi pada 1 Disember.

Bagaimanapun, tindakan Rangel menimbulkan rasa kurang senang sebahagian EXCO FAS dengan Mokhtar mahu bersemuka dengan Rangel yang dilihat sudah memalukan gergasi bola sepak tempatan itu.

Rangel yang sedang bercuti di Brazil dijangka kembali minggu depan bagi menyelesaikan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:07 AM