Petaling Jaya: Jodoh Paulo Rangel bersama Selangor semakin tidak menentu apabila Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bersedia melepaskan penjaring terbanyak Liga Super 2014 dari Brazil itu.

Kesediaan Selangor melepaskan pemain itu disuarakan Timbalan Presiden FAS Datuk Mokhtar Ahmad selepas mereka tidak senang duduk berikutan kenyataan Rangel mempersoal kelewatan gaji dan bayaran yuran tandatangan (signing fees) dirinya dalam media sosial.

“Kami akan berjumpa Rangel kerana kurang senang dengan kenyataannya menerusi media sosial. Tindakannya itu melanggar peraturan dan memalukan kami. Kami akan putuskan sama ada mahu menyambung (khidmatnya) atau mencari pemain lain.

“Jangan dia besar kepala kerana individu seperti ini boleh merosakkan pasukan. Keadaan ini seolah-olah menyebabkan kami perlu tunduk kepada dia, sedangkan sepatutnya kedua-dua pihak perlu seimbang,” tegas Mokhtar.

Menerusi laporan Arena Metro minggu lalu, Rangel menerusi akaun Twitter dan Instagram miliknya, mempersoal bayaran gaji dan yuran tandatangan itu.

Malah, pemain dari Brazil itu memberi tempoh hingga hari ini kepada FAS bagi menyelesaikannya atau dia akan membatalkan kontrak lanjutan dua tahun yang ditandatanganinya baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mokhtar dilihat tidak mahu mengalah apabila menyatakan akan bertentang mata dengan Rangel terlebih dulu sebelum membuat keputusan yang mungkin menyaksikan pemain itu dilepaskan.

Perkembangan terbaru ini pastinya menarik minat pasukan lain terutama Terengganu yang secara terbuka menyatakan kesudian menyambar Rangel seandainya dia bertindak meninggalkan naib juara Liga Super itu.

Mokhtar turut mengesahkan Mehmet Durakovic kekal ketua jurulatih Selangor musim depan walaupun ada laporan mendakwa beliau bakal digantikan penolongnya P Maniam.

“Durakovic dan Maniam akan kekal sebagai ketua dan penolong jurulatih. Maniam kini berada di Korea Selatan bagi menjalani modul 3 AFC Pro Diploma dan saya pasti selepas ini beliau akan menjadi rebutan,” katanya yang turut menjelaskan kedudukan Anuar Abu Bakar akan diperhalusi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:05 AM