NIK Mohd Hafiz menunjukkan inti martabak yang dihasilkan di kilangnya kepada pegawai FAMA negeri.
NIK Mohd Hafiz menunjukkan inti martabak yang dihasilkan di kilangnya kepada pegawai FAMA negeri.
Oleh Betty Subaryati.

Kota Bharu: Sri Lily Enterprise, pengeluar martabak mini jenama Lilian milik Bumiputera yakin persaingan dengan pengusaha produk martabak lain di negeri itu mampu melonjakkan lagi perniagaannya menerusi kepelbagaian produk keluarannya secara lebih moden.

Pengasasnya, Nik Mohd Hafiz Nik Zainuldin berkata, syarikat itu mendapat bimbingan daripada FAMA Kelantan mampu memperoleh pendapatan kira-kira antara RM20,000 dan RM30,000 sebulan berbanding ketika syarikat itu dikendalikan oleh arwah ibu bapanya sejak lebih 10 tahun lalu.

“Saya mula menguruskan perniagaan selepas ketiadaan ayah yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan melaburkan duit simpanan RM10,000 untuk membesarkan kilang,” katanya ketika ditemui di Kompleks Kilang usahawan Iundustri Kecil dan Sederhana (IKS) SME Bank, Pengkalan Chepa, di sini.

Beliau yang juga penerima Anugerah Usahawan Muda FAMA 2015 itu berkata, beliau menyertai kursus IKS dengan FAMA pada 2013 dan mendapat geran bernilai RM30,000 untuk membeli pelbagai jenis peralatan seperti peti sejuk beku, mesin gridle untuk memasak martabak dan peti blaster sekali gus mampu mengeluarkan antara 200 hingga 300 biji murtabak sehari.

“Kini martabak Lilian dari kilang Sri Lily Enterprise yang beroperasi lima hari seminggu iaitu Ahad hingga Khamis, menerima tempahan dari lebih 100 pengedar di seluruh negara,” katanya sambil menambah produknya dijual antara RM7 hingga RM13 bagi satu kotak.

Nik Hafiz berkata, lokasi pasaran martabak Lilian ialah sekitar pasaraya seperti Mydin Mall Kubang Kerian, Gong Badak dan bandar Terengganu, selain di agro bazar terpilih Fama di Terengganu dan Pahang

Sementara itu, Ketua Industri Asas Tani FAMA Kelantan, Nuriha Yusuf berkata, syarikat itu mendapat pengiktirafan FAMA dan kini sedang proses mendapatkan sijil Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan MeSTI dari Kementerian Kesihatan.

“Kilang ini mampu mengeluarkan produk makanan sejuk beku dan pes masakan seperti martabak raja daging, martabak raja ayam, martabak raja keju, martabak raja sardin, sambusat ayam, sambusat daging, kabat ayam, kabat daging, popia, pes masakan kuzi, ros dan puding pisang serta roti canai segera,” katanya sambil menambah maklumat di [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2016 @ 6:39 AM