PENGUNJUNG memilih daging ketika tinjauan bekalan daging di Pasar Chow Kit.
PENGUNJUNG memilih daging ketika tinjauan bekalan daging di Pasar Chow Kit.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Bekalan barangan basah terutama daging untuk penduduk Lembah Klang dijangka mencukupi untuk persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Tinjauan di Pasar Chow Kit dan Pasar Taman Tun Dr Ismail mendapati bekalan daging terutama daging import lebih daripada mencukupi dan orang ramai tidak perlu risau.

Peniaga daging, Syawal Raja, 39, berkata, seperti tahun sebelumnya, bekalan khususnya daging import dari India berlebihan dan mampu menampung permintaan.

Katanya, berbeza dengan daging tempatan yang mahal iaitu sekitar RM30 sekilogram, daging import semakin menjadi pilihan kerana harganya murah.

“Harga runcit bagi daging import di Pasar Chow Kit antara RM17 hingga RM18 saja sekilogram dan daging jenis itu sesuai untuk keadaan ekonomi masyarakat hari ini.

“Kebanyakan peniaga menyediakan bekalan secukupnya kerana permintaan dijangka semakin bertambah menjelang hari terakhir puasa,” katanya ketika ditemui.

Mohd Jefri Mohd Fahdli, 25, berkata, bekalan daging tempatan hanya boleh diperoleh pada waktu terhad di pasar berkenaan dan orang ramai biasanya gemar mendapatkan bekalan itu di pasar malam.

Ini kerana bekalan daging tempatan tidak banyak selain kurang mendapat sambutan kerana harganya yang lebih mahal.

“Memang daging tempatan lebih segar berbanding daging import, tetapi masyarakat hari ini lebih berjimat cermat.

“Warga Lembah Klang tidak perlu risau kerana bekalan daging mencukupi untuk Aidilfitri,” katanya.

Dalam pada itu, di Perlis, Persatuan Penternak Ruminan Perlis memberi jaminan bekalan daging di negeri itu mencukupi untuk keperluan Aidilfitri.

Pengerusinya, Abdullah Nayan berkata, 500 lembu dari Australia dibawa masuk ke Perlis membabitkan 300 lembu untuk keperluan sepanjang Ramadan dan 200 lembu lagi untuk hari raya.

“Keperluan daging di seluruh negeri pada masa ini ditampung daging diimport dari Australia.

“Sebanyak 80 peratus keperluan daging di Perlis kini adalah daging import manakala 20 peratus lagi dibekalkan penternak lembu tempatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak dalam kenyataannya sebelum ini memberi jaminan semua bekalan barangan keperluan asas seperti ayam, daging, santan, telur, sayur dan buah-buahan mencukupi bagi menghadapi musim perayaan.

Katanya, FAMA bersedia lebih awal bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas berkenaan mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:26 AM