ABDUL Rashid (bertopi) menunjukkan sayur-sayuran yang dijual sempena pelancaran Jualan Ramadan Madani hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
ABDUL Rashid (bertopi) menunjukkan sayur-sayuran yang dijual sempena pelancaran Jualan Ramadan Madani hari ini. FOTO Samadi Ahmad.
Samadi Ahmad


Putrajaya :Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasarkan nilai jualan RM13.5 juta menerusi Program Ramadan Madani di 103 lokasi pasar tani di seluruh negara, bagi meraikan Ramadan tahun ini.

Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, harga jualan yang ditawarkan lebih menarik dan murah berbanding pasaran lain iaitu sekitar lima hingga 10 peratus.

Katanya, sepanjang jualan itu usahawan tani turut menawarkan jualan Bakul Madani dan Kombo Madani yang ditawarkan pada harga lebih rendah.

"Program ini turut dilaksanakan di Pasar Tani Kekal, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Medan Niaga Satok, Sarawak," katanya pada sidang media selepas melancarkan Jualan Ramadan Madani Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Putrajaya, Presint 2, di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, pihaknya berharap orang ramai dapat memanfaatkan program itu bagi mendapatkan keperluan menyambut Ramadan nanti.

Menurutnya, FAMA juga akan memastikan ketersediaan bekalan agromakanan seperti telur ayam, ayam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan komoditi lain menerusi program itu.

Katanya, program jualan khas ini diadakan setiap tahun dan produk yang dipasarkan adalah barang keperluan musim perayaan seperti daging, ayam, sayur, ketupat, daun palas dan produk industri kecil sederhana seperti serunding serta kerepek.

"Bagi memberi kemudahan kepada pengguna FAMA turut menyediakan perkhidmatan secara atas talian untuk membeli barangan keperluan bagi menyambut Ramadan menerusi portal Agrobazaar Online (www.agrobazaar.com. my)," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid berkata, FAMA turut mengambil langkah proaktif dalam memastikan ketersediaan bekalan bahan mentah khususnya sayur-sayuran di Johor yang terkesan dengan banjir baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 8:25 PM