Ahmad Shabery (tengah) bermesra bersama pengunjung di Pasar Tani Bukit Angkasa.
Ahmad Shabery (tengah) bermesra bersama pengunjung di Pasar Tani Bukit Angkasa.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Orang ramai berpeluang membeli barangan keperluan sambutan Aidilfitri dengan potongan harga antara lima hingga 20 peratus menerusi Jualan Khas Pasar Tani Pra-Syawal di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, jualan khas anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) itu membabitkan 344 pasar tani terpilih dan beroperasi bermula semalam sehingga 24 Jun.

“Jualan khas ini mampu menjadi ruang alternatif untuk pengguna memilih barangan seperti ayam, daging, ikan dan sayur yang segar serta berkualiti dan harga berpatutan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan jualan khas berkenaan di Pasar Tani Bukit Angkasa, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah FAMA Datuk Ahmad Ishak dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Menurut Ahmad Shabery, FAMA turut memberi jaminan bekalan komoditi keperluan Hari Raya mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri kelak.

“Insya-Allah, bekalan makanan yang dikaitkan dengan musim perayaan ini mencukupi kerana ia antara perkara yang ditegaskan pihak FAMA,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, setakat April tahun ini, sebanyak 678 pasar tani telah beroperasi membabitkan 29,152 peserta Pasar Tani di seluruh negara dengan nilai jualan RM285 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2017 @ 9:59 AM