TANTIPOKHAKUL gembira bersama trofi.
TANTIPOKHAKUL gembira bersama trofi.

Kuala Lumpur: Pemain Thailand Namchok Tantipokhakul mengakhiri kemarau juara selama dua tahun apabila memenangi Kejohanan Golf Sabah Masters di Kelab Golf & Country Sutera Harbour di Kota Kinabalu, semalam.

Pemain berusia 28 tahun itu menunjukkan semangat waja untuk mempertahankan kedudukan pendahulu dengan mencatatkan pukulan par 71 pada pusingan akhir, sekali gus mengumpul catatan tujuh bawah par 277.

Dia mengatasi pencabar terdekat, Casey O’Toole dengan kelebihan dua pukulan untuk merangkul kejuaraan sulung Jelajah Pembangunan Asia (ADT) serta peluang beraksi pada Kejohanan SMBC Terbuka Singapura, akhir bulan ini.

O’Toole dari Amerika Syarikat bangkit pada pusingan penentuan dengan melakarkan tiga bawah par 68 untuk mengutip jumlah 279 pukulan pada kejohanan bernilai AS$100,000 (RM442,289).

Kejohanan itu diiktiraf ADT dan Persatuan Golf Profesional (PGA) ASEAN.

Tempat ketiga dikongsi bersama dua pemain Thailand Piya Swangarunporn dan Nirun Sae-eung dengan jumlah catatan 282 pukulan, diikuti rakan senegara, Chanat Sakulpolphaisan dengan 283 pukulan.

Wakil tempatan, Kemarol Baharin muncul pemain terbaik negara dengan menghuni tangga ketujuh dengan satu di atas par 285. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:07 AM