NELLY (kiri) menerima trofi selepas muncul juara Kejohanan Seri Pak.  FOTO AFP
NELLY (kiri) menerima trofi selepas muncul juara Kejohanan Seri Pak. FOTO AFP
AFP

Los Angeles: Nelly Korda melakukan birdie di lubang pertama playoff untuk menewaskan Ryann O'Toole di Kejohanan LPGA Seri Pak, sekali gus kembali sebagai pemain nombor satu dunia.

Ia adalah kejuaraan kedua Nelly dalam dua kejohanan selepas tidak beraksi sejak menewaskan Lydia Ko menerusi playoff di Kejohanan Drive On Championship di Florida, tujuh minggu lalu.

Tetapi, selepas permulaan agak hambar, dia mengatasi angin kencang di Palos Verdes Golf Club untuk meraih gelaran LPGA ke-10 dalam kariernya.

Nelly pada mulanya mendahului dengan kelebihan tiga pukulan selepas melakukan eagle di lubang ke-14, tetapi melakukan dua bogey berturut-turut untuk terikat sembilan under par 275 dengan rakan senegara dari Amerika Syrikat (AS), O'Toole.

Angin sejuk yang deras di bahagian selatan Los Angeles itu menyajikan final penuh debaran apabila bola teralih dari green dan beberapa pukulan bagus tersasar.

Pemain Australia, Gabriela Ruffels dan pemain AS, Alison Lee berkongsi pendahuluan selepas sembilan lubang pertama, tetapi akhirnya menduduki tempat kedua dengan terikat 276 pukulan.

"Hujung minggu ini sangat kejam. Hari ini memang mencabar, tetapi saya fikir ini adalah keindahan dalam sukan ini.

"Memang seronok dapat bermain dalam keadaan seperti ini dan keadaan yang lebih artistik di luar sana," kata Nelly.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2024 @ 10:02 AM