Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan meminta rasuah daripada lelaki Vietnam yang tidak mempunyai permit kebenaran bekerja, pada Mac dan April tahun lalu.

Konstabel sokongan V Venisan Raj, 31; Konstabel Mohd Dzulfadzli Mohammad Noor, 29; dan Lans Koperal Shafiul Kamal Salleh, 34, yang bertugas di Balai Polis Pontian didakwa meminta rasuah bernilai RM1,500 daripada Nguyen Van Tuan sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap lelaki itu yang tidak mempunyai permit kebenaran bekerja di hadapan lot kedai Jalan Utama, Taman Damai, Pontian, antara 2 petang hingga 2.30 petang, 1 April 2015.

Di mahkamah sama, Venisan turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan lain iaitu menerima rasuah RM550 daripada lelaki berkenaan di Taman Desa Harta Emas, Parit Semerah, Pontian, jam 2.47 petang, 17 April 2015.

Venisan dan Mohd Dzulfadzli turut didakwa bersama-sama meminta rasuah RM1,000 daripada Nguyen bagi tujuan yang sama di rumah di Jalan Jasa Indah 4, Taman Jasa Indah, Pontian, antara 5 petang hingga 5.30 petang, 19 Mac 2015.

Mereka berdua mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mohd Dzulfadzli yang memakai kemeja-T berwarna merah turut menghadapi satu lagi pertuduhan memperoleh rasuah RM1,000 daripada Nguyen di tempat, masa dan tarikh yang sama serta mengaku tidak bersalah.

Ketiga-tiga mereka yang tidak diwakili peguam dibenarkan ikat jamin RM5,000 setiap seorang dan kes akan disebut semula 15 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 12:15 PM