Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang pegawai polis didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pilihan bersetuju menerima wang tunai RM3,000 daripada seorang suspek kes kemalangan maut, dua tahun lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Inspektor Mohd Shulul Azmil Shuaibon, 34, mengaku bersalah sejurus pertuduhan pilihan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, dia didakwa bersetuju menerima wang tunai RM3,000 tanpa balasan daripadan Azman Mat Zain, 46, yang mana tertuduh tahu dia mempunyai hubungan dengan tugas rasminya iaitu sebagai pegawai penyiasat ke atas kes dilakukan Azman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) pada 5.25 petang, 15 Januari 2014.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 13 April 2015, di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan yang mana pertuduhan pertama meminta suapan wang RM3,500 daripada Azman sebagai dorongan pertolongan yang dicadangkan dengan cara sama ada lelaki itu dikenakan pertuduhan lebih ringan atau tidak mendakwanya di mahkamah bagi kesalahan menyebabkan kematian dalam kemalangan jalan raya.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menerima wang tunai RM3,000 daripada Azman untuk tidak menuduh Azman di mahkamah.

Pada prosiding hari ini, mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh bagi pertuduhan pertama, manakala ditawarkan pertuduhan pilihan bagi pertuduhan kedua.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ridzuan Abd Malik, manakala tertuduh diwakili peguam Rosli Kamaruddin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2016 @ 11:40 AM