FOTO Hiasan.
FOTO Hiasan.
Mohd Sabran Md Sani


TIGA anggota polis dijatuhi hukuman penjara 18 hingga 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini, selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah bernilai RM3,050 pada 2016.

Tertuduh, konstabel sokongan, V Venisan, 37; konstabel Mohd Dzulfadzli Mohamad Noor, 32 dan lans koperal, Shaiful Kamal Salleh, 35, turut dijatuhi hukuman denda antara RM10,000 hingga RM30,000.

Hakim Kamaruddin Kamsun menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dihadapi semua tertuduh.

“Justeru ketiga-tiga tertuduh didapati bersalah dengan tertuduh pertama, Venisan dan tertuduh kedua, Mohd Dzulfadzli dijatuhi penjara 30 bulan dan denda RM30,000.

“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap tertuduh ketiga, Shafiul Kamal dan denda RM10,000,” katanya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa meminta serta menerima suapan bernilai RM3,050 daripada seorang warga asing.

Tindakan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap lelaki terbabit yang tidak mempunyai permit kerja di Malaysia.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi di daerah Pontian antara Mac hingga April 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Ridzuan Abd Malik manakala Mohd Dzulfadzli dan Shaiful diwakili peguam Md Hazza Md Khalid dan Venisan diwakili peguam S Vijaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:51 PM