FAZILAH  berduet dengan Ella.
FAZILAH berduet dengan Ella.
Oleh Michelle Gun


Episod ketiga Seiras Seirama pada Ahad lalu menyaksikan Fazilah Asmar, 26, menjadi pilihan ratu rock tanah air, Ella untuk mewakilinya di pentas akhir program realiti itu nanti.

Kemenangan itu sekali gus menunaikan impian anak kelahiran Sabah itu untuk berduet dengan Ella.

Menerusi segmen Caras Mencaras, Fazilah yang meminati Ella sejak berusia empat tahun berjaya mengetepikan pesaing terdekatnya Norminah Sailun, Shida Saron dan peserta dari Indonesia Emawati Ali.

Ketika menyampaikan lagu hit Gemilang, Fazilah menggunakan pengalaman serta kelebihannya sebagai pemuzik jalanan untuk menjadikan persembahannya lebih menonjol seterusnya mencuri perhatian Ella.

Selain persembahan peserta, Ella turut menghiburkan penonton dengan lagu duet bersama adiknya, Korie berjudul Pergilah Sayang.

Episod Ikon Ella ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelawak Jihan Muse yang juga peminat setia penyanyi rock itu.

Telatah Jihan bersama pengacara program, Datuk Aznil Nawawi meniru gaya Ella menyanyi mencuit hati penonton.

Minggu lalu, episod Ikon Hafiz Suip menyaksikan Ahmad Shukri Zakaria diangkat sebagai juara.

Seiras Seirama program mencari penyanyi memiliki suara persis ikon terkenal tanah air iaitu Datuk Jamal Abdillah, Ella, Ziana Zain, Misha Omar, Mas Idayu, Faizal Tahir dan Hafiz Suip.

Saksikan episod seterus Seiras Seirama pada Ahad ini, jam 9 malam di saluran 104 Astro Ria.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 8:22 AM