AZREN
AZREN
Najiy Jefri


Biarpun terkilan kerana tidak berjaya mara ke peringkat akhir program realiti Seiras Seirama tahun lalu, Azren Albakri tetap optimis untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya.

Buktinya, sebaik program realiti itu tamat bersiaran, jejaka berusia 24 tahun ini meneruskan langkah dengan menyertai pertandingan pencarian bakat baru Mixology Talent Search anjuran Mixology Music milik komposer DJ Fuzz.

Siapa sangka, video rakaman yang dimuat naik di laman Instagram miliknya tahun lalu dipilih, sekali gus menjadi artis naungan syarikat milik komposer terkenal itu.

Menurut Azren, dia kecewa apabila gagal membuktikan kebolehan nyanyiannya kepada ikon Hafiz Suip dalam program realiti itu, namun bersyukur ada rezeki lain yang datang menjengah.

“Selepas DJ Fuzz menghubungi saya mengatakan saya antara peserta yang terpilih untuk ke pusingan seterusnya, saya berasa berat hati untuk pergi kerana bimbang akan kecewa jika tidak terpilih menjadi artis mereka.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana dipilih untuk berada di bawah label baru milik DJ Fuzz bersama tiga bakat baru yang lain. Bagi saya, mungkin ini adalah titik permulaan untuk saya melebarkan sayap dalam bidang nyanyian.

“Sejak itu, saya mula pasang niat untuk serius dalam bidang ini. Saya mahu menjadi penyanyi versatil hasil bimbingan dan tunjuk ajar daripada DJ Fuzz serta penyanyi lain yang berada di bawah naungannya,” katanya.

Ditanya mengenai impak populariti yang diterimanya ketika menyertai program Seiras Seirama, pemuda kelahiran Klang, Selangor itu berkata, dia kini semakin dikenali dan mendapat beberapa undangan nyanyian.

“Alhamdulillah Seiras Seirama adalah platfrom pertama yang memperkenalkan saya kepada industri muzik. Biarpun terpaksa akur apabila sekadar melepasi pusingan separuh akhir, tetapi program itu banyak mengajar saya untuk menjadi lebih berani ketika berhadapan dengan peminat dan penonton,” katanya yang kini muncul dengan single baru berjudul Jangan Kejutkan Aku.

Bercerita mengenai singlenya itu, Azren berkata, lagu bergenre pop itu adalah sentuhan DJ Fuzz dan liriknya ditulis kumpulan Viral.

“Jangan Kejutkan Aku adalah percubaan pertama saya dalam industri muzik tanah air. Saya bersyukur sejak lagu ini dimuat naik di YouTube Julai lalu, rata-rata memberikan respons positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2016 @ 5:50 AM