PESERTA Seiras Seirama bersama mentor masing-masing.
PESERTA Seiras Seirama bersama mentor masing-masing.
Oleh Wahi Aziz


Penyanyi berkaliber, Misha Omar, 33, menyifatkan pembabitannya dalam program realiti Seiras Seirama cukup istimewa.

Jelas pemilik nama sebenar Samihah @ Aisah Omar, hatinya tersentuh kerana tidak menyangka kewujudannya dalam arena seni selama 15 tahun meninggalkan impak tersendiri sehinggakan cara nyanyiannya dapat ditiru peminat dalam program berkenaan.

“Saya terharu apabila peserta program ini boleh meniru gaya nyanyian saya.

“Macam tak percaya, cara mereka seiras saya,” katanya yang bertindak sebagai mentor kepada empat peserta dalam pertandingan itu.

Sambung Misha, penemuan bakat itu juga ganjaran peribadi kepadanya atas usaha selama ini.

“Apabila jumpa mereka, saya rasa 15 tahun pembabit­an sebagai penyanyi sangat berbaloi. Ia menunjukkan cara nyanyian saya melekat di hati peminat,” katanya.

Malah, penyanyi lagu Angin Syurga ini turut bangga dengan peluang diberikan Astro menjayakan program itu di samping penyanyi senior hebat seperti Datuk Jamal Abdillah, Ella, Ziana Zain dan Mas Idayu.

“Rasa diri ini kerdil jika dibandingkan dengan nama besar lain. Jika diukur pada pengalaman, saya jauh ketinggalan, tetapi berpeluang bersaing dengan peserta di bawah bimbingan mereka.

“Komitmen untuk program ini tidak membebankan kerana ia rakaman. Hanya episod akhir sahaja akan bersiaran secara langsung. Seronok dan teruja apabila dapat jadi sebahagian keluarga Seiras Seirama,” katanya.

Selain lima penyanyi itu, Seiras Seirama turut menampilkan Faizal Tahir dan Hafiz Suip yang bertangungjawab membimbing empat peserta setiap seorang selama lapan minggu.

Pengurus Saluran Astro Ria Ahmad Raqim Ahmad berkata, tujuh ikon itu dipilih keran aura dan populariti mereka.

“Jika diteliti, mereka ada pengikut yang ramai dan masih relevan dalam industri seni suara tanah air. Setiap mereka mempunyai karakter dan identiti tersendiri.

“Menerusi program ini kita berpeluang melihat sejauh mana kemampuan peserta menjiwai karakter, gaya dan suara bintang kegemaran mereka,” katanya.

Bakal bersiaran di Astro Ria dan Astro Ria HD setiap Ahad pada jam 9 malam bermula bermula 20 Disember ini, Seiras Seirama menawarkan wang tunai RM20,000 dan hadiah lain kepada juara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 12:28 PM