OBINNA (kiri) perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum sertai skuad Penyu.
OBINNA (kiri) perlu lulus pemeriksaan kesihatan sebelum sertai skuad Penyu.
Oleh Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Kem pasukan Terengganu kini dilanda keresahan apabila bekas pemain West Ham United, Victor Nsofor Obinna yang sepatutnya tiba di Kuala Terengganu minggu ini masih gagal berbuat demikian sehingga semalam.

Lebih membingungkan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) bukan setakat kelibat bekas pemain Inter Milan itu tidak kunjung tiba, tetapi emel dihantar kepada ejen pemain terbabit juga tidak mendapat sebarang jawapan.

Setiausaha Agung PBSNT Arpin Draman berkata, PBSNT sudah menghantar surat tawaran melalui emel kepada ejen pemain kelahiran Jos, Nigeria itu untuk beraksi bersama Terengganu, tetapi sehingga kini belum mendapat reaksi.

“Kami sudah emel surat tawaran itu Ahad lalu kepada ejen pemain berkenaan namun sehingga hari ini (semalam) tidak ada sebarang maklum balas sama ada melalui emel ataupun panggilan telefon dan ini meresahkan kami.

“Tapi, kami tidak mahu menunggu terlalu lama jawapan daripada ejen pemain itu. Jika gagal muncul minggu depan, kami akan berbincang semula mengenai kedudukan pemain itu,” katanya.

Mengulas lanjut Arpin berkata, walaupun kini ada beberapa pemain lain yang akan dipertimbangkan untuk menyarung jersi Terengganu, pemain itu tetap menjadi pilihan utama kerana tarikh tutup pendaftaran masih panjang pada 12 Februari depan.

“Walaupun kami sudah menawarkan surat tawaran kepada pemain itu, ia juga bergantung kepada pemeriksaan kesihatan sebaik dia tiba di Kuala Terengganu.

“Jika lulus pemeriksaan kesihatan, barulah kami akan mengikatnya. Jika gagal kami akan mencari pemain lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain Arpin berkata, Terengganu akan memperkenalkan skuad musim 2016 dan jersi baru mereka di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, pada 9 Februari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2016 @ 5:08 AM