Kuala Lumpur: Selepas dikecewakan Pahang tahun lalu, penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme tampil menjadi tonggak kejayaan skuad Tok Gajah dengan ledakan dua gol untuk menewaskan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada aksi final Piala Malaysia menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.

Selepas tumpas di final bersama Kelantan musim lalu, Nwakaeme, 28, berhijrah ke Pahang dan ternyata keputusan itu berbaloi apabila dia membantu skuad kendalian Zainal Abidin Hassan menjuarai Piala FA Jun lalu sebelum menambah satu lagi koleksi trofi di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin.

Pemain diberi gelaran ‘orang besi’ itu menjadi watak penting Tok Gajah dalam perlawanan besar dengan menyumbat dua gol untuk mengikat kedudukan 2-2 bagi mengheret `aksi ke masa tambahan sebelum perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.

Menurut Nwakaeme, semangat berpasukan tinggi menjadi pencetus kemenangan ke atas barisan bintang juara Liga Super Johor DT selepas mereka dipaksa bermain hampir sejam dengan 10 pemain apabila pertahanan Saiful Nizam Miswan dilayang kad merah pada minit ke-67 kerana mengasari Amri Yahyah.

“Saya amat gembira dengan kemenangan ini. Ia perlawanan cukup sukar selepas kami kehilangan seorang pemain untuk tempoh permainan lebih 50 minit, tapi kami pejuang dan berjuang hingga ke minit akhir.

“Kami tetap yakin walaupun beraksi 10 pemain kerana mempunyai rekod baik dalam kempen kali ini. Jika tidak salah dalam Piala Malaysia kami hilang seorang pemain dalam tiga perlawanan dan kami tidak pernah kalah, mungkin kami bermain bagus bila hilang seorang pemain,” katanya ketika ditemui Arena Metro sebaik tamat perlawanan kelmarin.

Nwakaeme yang turut menjadi wira Pahang apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan FELDA United 2-1 di final Piala FA masih belum mahu berbicara mengenai hala tujunya selepas ini.

“Saya sayangkan pasukan ini, penyokong Tok Gajah dan Elephant Army. Saya tidak tahu lagi perancangan selepas ini kerana buat masa ini saya mahu berjoget dan meraikan kejayaan ini bersama pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:02 AM