MOHAMMED Suffian (kiri) menyambut ketibaan bekas penyerang Tok Gajah 2014 dan 2015, Dickson Nwakaeme di KLIA. FOTO Ihsan Pahang FA
MOHAMMED Suffian (kiri) menyambut ketibaan bekas penyerang Tok Gajah 2014 dan 2015, Dickson Nwakaeme di KLIA. FOTO Ihsan Pahang FA
Asrol Awang


KUANTAN: Penyerang Dickson Nwakaeme yang pernah menyarung jersi Pahang pada 2014 dan 2015 kembali memperkuatkan pasukan itu dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Pengesahan itu diumumkan pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang yang mengharapkan kehadiran pemain dari Nigeria itu akan memperkasakan jentera serangan skuad Tok Gajah.

“Ia berita gembira bukan saja buat pasukan, malah peminat Tok Gajah yang sememangnya menantikan Nwakaeme selepas dia bersama Pahang selama dua musim.

“Kami harap pengalaman yang dimiliki pemain berusia 33 tahun itu akan membantu dan menjadi peledak utama pasukan negeri sepanjang musim ini,” katanya.

Pada penampilan sulung Nwakaeme yang digelar ‘Orang Besi’ bersama Pahang musim 2014, penyerang itu membantu mereka menjulang tiga trofi iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Ketika itu, Nwakaeme bergandingan dengan penyerang Argentina, Matias Conti yang menjadi kebanggaan peminat bola sepak negeri itu.

Dua tahun lalu, nama pemain import itu pernah menjadi sebutan apabila dikatakan akan kembali menyarung jersi Pahang pada jendela perpindahan kedua tetapi tidak menjadi kenyataan.

Dengan pengesahan itu, Pahang sudah memiliki empat pemain import iaitu Nwakaeme, Saddil Ramdani dari Indonesia, Herold Goulon (Perancis) dan Safuwan Baharudin (Singapura).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 4:38 PM