RAYANI Air  rancang perluas laluan ke pasaran serantau.
RAYANI Air rancang perluas laluan ke pasaran serantau.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Langkawi: Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air), syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia bakal mempertimbangkan semua langkah perlu untuk pengumpulan dana perkembangan syarikat itu 10 tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Jaafar Zamhari berkata, ketika ini syarikat hanya bergantung kepada modal sendiri, namun melihat pinjaman daripada bank atau tawaran awam permulaan (IPO) sebagai satu pelan untuk mencapai matlamat terbabit.

“Kami sedia melaksanakan langkah itu memandangkan pelan perkembangan kami bukan sahaja merangkumi destinasi domestik, malah meluaskannya kepada penerbangan umrah dan haji, sekali gus membolehkan Rayani Air menjadi lebih kukuh serta memiliki rangkaian lebih besar,” katanya kepada Bisnes Metro di sini,

Syarikat penerbangan tempatan itu melancarkan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Langkawi selepas menerima Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA), bulan lalu.

Rayani Air menawarkan penerbangan dua kali sehari bagi penerbangan dua hala dari Kuala Lumpur-Langkawi dan Kuala Lumpur-Kota Bahru melalui dua pesawat Boeing 737-400.

Beliau berkata, syarikat dijangka melebarkan sayap ke Kuching dan Kota Kinabalu melalui penambahan dua lagi pesawat Boeing 737-400 dan dua pesawat 737-800 pada 2017 bagi meningkatkan lagi laluan domestik lain serta kekerapan penerbangan.

“Kami juga merancang menambah pesawat bersaiz lebih besar untuk menerokai pasaran serantau seperti Manila, Jakarta dan Bangkok serta pasaran antarabangsa dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang,” katanya.

Ketika mengulas persaingan Rayani Air dan syarikat penerbangan lain, Jaafar berkata, kewujudan syarikatnya tidak akan memberi impak kepada syarikat lain memandangkan industri penerbangan sentiasa berkembang, malah ia boleh memberikan persaingan sihat dalam industri terbabit dan memberi lebih pilihan kepada penumpang.

Menurutnya, beliau yakin Rayani Air akan mencatatkan prestasi baik pada tahun ini berikutan jangkaan rantau Asia Pasifik mengalami pertumbuhan pengangkutan udara sebanyak 5.7 peratus.

“Kami menyasarkan faktor muatan penumpang sebanyak 75 peratus melepasi faktor muatan yang memberikan pulangan modal iaitu sebanyak 65 peratus dan kami menjangkakan Rayani Air mampu mencapai pulangan modal perniagaan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, Jaafar dalam satu temu bual dengan portal berita dalam talian dilaporkan merancang melantik Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din sebagai penasihat.

Beliau berkata, sekiranya veteran PAS itu bersetuju, beliau berperanan menasihati pelaksanaan konsep patuh syariah yang sebetulnya mengikut lunas Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 6:55 AM