RAVI (kanan) memberi penerangan kepada Mohd Rawi mengenai Boeing 737 400 yang akan memulakan operasinya pada hujung bulan ini.
RAVI (kanan) memberi penerangan kepada Mohd Rawi mengenai Boeing 737 400 yang akan memulakan operasinya pada hujung bulan ini.
Oleh Hamzah Osman


Langkawi: Syarikat penerbangan Rayani Air Sdn Bhd (Rayani Air) yang berpangkalan di sini, melabur sejumlah RM50 juta bagi menawarkan khidmat penerbangan ke empat destinasi pilihan untuk sektor penumpang dan kargo dalam negara menggunakan pesawat B737-400.

Syarikat yang baru berusia dua tahun itu turut bersedia menyahut aspirasi rakyat dengan menjanjikan pengurusan penerbangan berasaskan syariah sepenuhnya bagi semua laluan yang dirancang.

Pengarah Urusannya, A Ravi berkata, pihaknya sudah bersedia memulakan penerbangan fasa pertama ke Kuala Lumpur, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu dengan semuanya berpangkalan di Langkawi mulai akhir bulan ini.

Menurutnya, menjelang fasa kedua iaitu dalam tempoh dua tahun akan datang, syarikat penerbangan itu akan menambah destinasi domestik dan serantau sebelum bercadang memulakan laluan antarabangsa seperti Selatan India, China, Manila dan Sumatera Utara.

“Kami juga komited melaksanakan pengurusan penerbangan berasaskan syariah termasuk mewajibkan anak kapal wanita beragama Islam untuk berhijab dan tiada sajian alkohol dalam pesawat.

“Kami yakin dengan kemampuan syarikat kerana warga Rayani Air adalah kakitangan berpengalaman dalam industri penerbangan komersial termasuk beberapa bekas kakitangan Jabatan Penerbangan Awam (DCA),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran penerbangan itu yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, semalam.

Sementara itu, Mohd Rawi berkata, pihaknya menyambut baik langkah Rayani Air apabila menyediakan perkhidmatan terbabit bagi kemudahan pelancong dan penduduk tempatan berulang-alik ke tanah besar.

“Selain menyediakan kemudahan pengangkutan udara untuk orang ramai, ia diyakini mampu memantapkan industri pelancongan dalam persediaan menyambut Kedah Discover 2016, awal tahun depan.

“Malah, langkah beberapa syarikat penerbangan menjadikan pulau ini sebagai hab penerbangan mereka juga patut diambil peluang oleh pengusaha pelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:03 AM