MAHADZER (dua dari kanan) bersama barisan pemain yang bakal beraksi pada SUKMA ke-16 di Kuching.
MAHADZER (dua dari kanan) bersama barisan pemain yang bakal beraksi pada SUKMA ke-16 di Kuching.
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar


Georgetown: Pulau Pinang meletakkan harapan tinggi dengan sasaran sekurang-kurangnya dua emas menerusi skuad sepak takraw yang bakal beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-16 di Kuching, Sarawak bermula 22 hingga 31 Julai nanti.

Sasaran itu dibuat berdasarkan pencapaian yang semakin memberangsangkan di kalangan pemain selepas melalui proses pemilihan sejak dua bulan lalu dan rekod meraih dua perak dan satu gangsa pada SUKMA ke-15 di Perlis, dua tahun lalu.

Jurulatih Sepak Takraw Pulau Pinang Mahadzer Mokhtar berkata, pemain kini sedang giat menjalani latihan intensif termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan untuk menguji keserasian gandingan dan persefahaman.

“Kita melihat pemain memberikan komitmen tinggi selepas mencatatkan beberapa kemenangan dan berjaya menangani kelemahan yang dihadapi ketika menghadapi pihak lawan.

“Kelemahan selepas tewas kepada Wilayah Persekutuan pada aksi final SUKMA dua tahun lalu memberikan inspirasi kepada pemain untuk terus meningkatkan usaha bagi mencapai sasaran membawa pulang dua emas atau sekurang-kurangnya satu emas bagi skuad sepak takraw Pulau Mutiara,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM), Minden, , baru-baru ini.

Antara barisan pemain yang disenaraikan Pulau Pinang untuk ke SUKMA 2016 dan kini sedang menjalani latihan termasuk tekong Mohamad Syahir Mohd Rosdi, Said Ezwan Said De, Muhammad Muzamir Md Yusof, Mustaqim Zainordin, Mohammad Azamuddin Zulfikri.

Posisi apit kanan pula dibarisi Muhammad Danial Baharin, Muhammad Syafiq Ayob, Ahmad Idham Mohamad, Amir Syahiran Mohd Fuzi, Anas Anaqi Syaful Mohanzani, Alif Marican Ibrahim Marican, Muhamad Danish Satari dan Dhazhir Ishak manakala apit kiri Muhammad Zaim Razali, Muhamad Saiful Azri Shahnon, Muhammad Suhail Zulfager, Mohammad Zulkefli Md Rozhar Zaidi, Amir Aizad Mohd Roshanizam dan Mohamad Nazhan Noor Zamri.

“Alhamdulillah, pencapaian pemain semakin meningkat menerusi GP Kebangsaan Perlis 2015 apabila kami muncul juara, tempat keempat pada Kejohanan Remaja Kebangsaan 2015, naib juara Liga Remaja Kebangsaan dan juara Liga Sepak Takraw Pulau Pinang 2015 serta pertemuan persahabatan terbaru yang menyaksikan kami berjaya menewaskan pasukan Jawa Timur, Indonesia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 5:25 AM