TAUFEK (empat dari kanan) beramah mesra dengan barisan pemain Negeri Antlers yang akan bersaing dalam STL 2020. FOTO MOHD AMIN JALIL.
TAUFEK (empat dari kanan) beramah mesra dengan barisan pemain Negeri Antlers yang akan bersaing dalam STL 2020. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Skuad Negeri Sembilan Antlers menjanjikan saingan sengit dalam menghadapi cabaran Sepak Takraw League (STL) 2020, yang akan bermula 18 September ini.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) Wan Mohd Husni Wan Abdullah berkata, pihaknya mensasarkan pencapaian terbaik sekurang-kurangnya tempat ketiga keseluruhan.

"Kita sudah membentuk skuad lebih mantap pada kali ini, walaupun tanpa pemain import tetapi barisan yang kami tampil lebih berwibawa termasuk pemain kebangsaan.

"Saya yakin mereka mampu merealisasikan sasaran yang kita tetap sebaik cabaran bermula pada 18 September ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Pengenalan Pasukan Sepak Takraw Negeri Sembilan Antlers, di Klana Resort di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani dan Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Akramuddin Abd Aziz.

Wan Mohd Husni berkata, kali ini Negeri Sembilan Antlers diketuai ketua jurulatih Shahibol Mazlan dan jurulatih Mohd Shahir Nasruddin selain diperkuatkan dengan pemain baharu yang juga pelapis pasukan kebangsaan serta pemain Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Sembilan.

"Mereka ialah Mohd Syazreen Qamar Salehan selaku ketua pasukan, Syahmi Ikhwan Safaruddin (tekong), Aiman Fouzee (apit kanan), Mohd Hisham Mat (apit kiri) dan Hafizul Hayazi Adnan serta Zul Efendi Sumari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 7:50 PM