ABDUL Talib
ABDUL Talib
Azlan Muhammad Zain


KETUA jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad mengakui perlu berdepan risiko dikecam apabila menghantar barisan kedua ke Kejohanan Sepaktakraw Asia 2019 yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 15 Jun di Kunming, China.

Pengendali yang membimbing skuad negara raih emas Sukan SEA (2015 dan 2017) dan Sukan Asia 2018 berkenaan mungkin berdepan kritikan sekiranya skuad negara kecundang awal atau kepada pasukan yang lebih kerdil.

Beliau bagaimanapun menegaskan keputusannya adalah lebih kepada perancangan jangka panjang dalam usaha membolehkan pemain didedahkan kepada persekitaran kejohanan atau pertandingan yang sebenar.

“Saya perlu ambil tindakan berani memberi pendedahan kepada pemain. Saya tidak boleh menghantar muka yang sama ke setiap kejohanan dan perlu memikirkan masa depan skuad negara.

“Pemain yang dihantar ke China juga berpengalaman serta pernah beraksi di Sukan SEA dan Asia, cuma hanya dua pemain baru. Bagaimanapun sasaran saya tetap mahu mereka sekurang-kurangnya melangkah ke final di China nanti.

“Cuma saya berharap pemerhati dan peminat sepak takraw, dalam memahami keputusan menghantar mereka sekiranya keputusan tidak memihak kepada skuad negara pada kejohanan,” katanya.

Malaysia menghantar lima pemain diketuai Muhammad Syahmi Husin, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Azli Ahmad Zaki, Amirul Zazwan Amir dan Zarif Marican Ibrahim Marican pada kejohanan yang mempertandingkan acara regu itu.

“Mereka sebenarnya mempamerkan persembahan yang bagus ketika aksi persahabatan menentang kelab Thailand tempoh hari. Namun pada masa yang sama, saya perlu melihat dan menilai karektor mereka apabila menyertai pertandingan sebenar,” tambahnya.

Pada masa yang sama skuad utama negara termasuk Mohd Syahir Rosdi, Muhammad Zulkifli Abd Razak, Azlan Alias dan Farhan Adam menyertai latihan dan aksi persahabatan di Korea Selatan.

Misi utama skuad negara pada tahun ini adalah mempertahankan emas di Sukan SEA Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2019 @ 8:03 PM