SITI Aisyah Alias mencatat sejarah sebagai pelumba wanita pertama Malaysia menaiki podium pada perlumbaan Siri Maraton Basikal Bukit Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), di Langkawi, hari ini.

Pelumba pasukan Pahang berusia 19 tahun itu meraih tempat ketiga dengan catatan masa empat jam 15 minit 20 saat, sekali gus mengetepikan rakan senegara Masziyaton Mohd Radzi dengan kelebihan hampir lapan minit.

“Ini adalah kali pertama saya menyertai perlumbaan UCI jadi saya sangat terkejut kerana berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga. Ini merupakan pencapaian terbesar yang pernah saya capai jadi saya sangat bangga.

“Sebelum ini saya hanya menyertai Jamboree jadi ini merupakan pertandingan terbesar yang pernah saya sertai,” katanya selepas perlumbaan sejauh 75km.

Katanya, dia tidak menyangka mampu untuk mengalahkan Masziyaton yang lebih berpengalaman tetapi mengakui faktor nasib menyebelahinya untuk berada di tempat ketiga.

“Tapi pada satu peringkat saya nampak Masziyaton berhenti, mungkin kerana basikalnya mengalami masalah jadi saya gunakan peluang yang ada untuk memintasnya,” katanya.

Katanya, dia tidak berdepan kesukaran dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kerana sudah biasa.

Acara elit wanita itu dimenangi pelumba Slovakia, Janka Kesegstevkova daripada pasukan Outsiterz, dengan catatan masa 3:53:50s manakala tempat kedua oleh Supuksorn Nuntana dari Thailand (Endurance Thailand Team) dengan masa 4:08:57s.

Perlumbaan Siri Maraton Mountain Bike Dunia UCI merupakan siri kelayakan bagi kejohanan dunia.

Selain Langkawi, tuan rumah lain bagi siri kelayakan itu adalah Villabassa (Itali), Sietterstrand (Denmark), Ucka (Croatia), Graz (Austria), Verbier (Switzerland), Jurmala (Latvia), Val Di Fassa (Itali), Obwalden (Switzerland), Ornans (Perancis), Frejus (Perancis) dan Punchuncavi (Chile). - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 8:26 PM