QUINTERO (tengah) bersama Metkel (kiri) di atas podium. FOTO FB TSG
QUINTERO (tengah) bersama Metkel (kiri) di atas podium. FOTO FB TSG
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Ini adalah hadiah ulang tahun kelahiran terbaik buat diri saya selepas meraih kejuaraan kedua pada tahun ini di bumi Turki."

Demikian reaksi pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Carlos Quintero menerusi hantaran dalam Instagram miliknya selepas berjaya menamatkan kedudukan di tempat pertama Grand Prix (GP) Gundogmus, Turki semalam.

Lebih manis kejuaraan itu adalah kedua peribadinya dalam siri perlumbaan di negara itu selepas GP Velo Alanya pada 21 Februari lalu.

Pelumba berusia 35 tahun kelahiran Colombia itu menamatkan perlumbaan sejauh 104.5 kilometer dengan melalui lima pendakian dengan catatan masa 2 jam 41 minit 1 saat.

Dia meninggalkan rakan sepasukannya, Metkel Eyob yang menduduki tempat kedua dengan ketinggalan 16 saat manakala pelumba Panama, Franklin Archibold ketiga.

Pada Sabtu lalu, pelumba sensasi negara, Mohd Harrif Saleh berjaya menduduki tempat keempat dalam perlumbaan GP Mediterranean manakala Irwandie Lakasek berada di ke tempat keenam dan Wan Abdul Rahman Hamdan kelapan.

Mengulas lanjut, Quintero berkata, kejayaan itu adalah hasil bantuan daripada rakan sepasukannya bermula sejak awal perlumbaan lagi.

"Saya turut berterima kasih kepada semua yang memberikan semangat dan motivasi tanpa henti sebelum berjaya merakam kemenangan," katanya.

Kejayaan pelumba TSG dalam kelendar pertama kejohanan pada tahun ini bakal melonjakkan lagi mata dalam Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sebelum memburu mata pada aksi seterusnya jelajah Thailand pada bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 2:08 PM