TSG duduki ranking nombor satu Asia.
TSG duduki ranking nombor satu Asia.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yakin mampu mempertahankan gelaran jelajah nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) musim ini.

Pasukan berpangkalan di Terengganu yang ditubuhkan pada Januari 2011 juga turut mengintai peluang untuk menamatkan perlumbaan sekurang-kurangnya di ranking ketiga terbaik benua.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, keyakinan itu berdasarkan kedudukan terkini yang diraih pasukan serta prestasi semasa 15 pelumbanya.

"Saya optimis TSG mampu mempertahankan kejuaraan di peringkat Asia musim ini dan kita akan cuba yang terbaik untuk mendapatkan tempat ketiga terbaik bagi pasukan benua.

"Lagipun sekarang kita berada di kedudukan nombor satu Asia dan kedua dalam benua daripada160 pasukan UCI Continental. Jika ikut percaturan dan perancangan kita masih berbaki 13 siri perlumbaan lagi yang perlu dilalui pasukan sebelum kalendar UCI musim ini menutup tirainya pada 24 Oktober depan.

"Antara siri perlumbaan itu termasuk di Turki, Iran, Jepun, Taiwan selain Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Oktober depan, kita meletakkan impian yang tinggi untuk mengekalkan status itu selain mengintai peluang terbaik dalam benua dan dunia," katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan dan Meraikan Rakan Media, dekat sini, malam tadi yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus.

Dalam perkembangan lain Che Ku Mohd Izmuddin berkata, musim depan TSG bakal menyertai kejohanan di Sepanyol selepas kejayaan yang begitu cemerlang di bumi Turki.

"Insya-Allah pada tahun 2023, kita akan cuba bersaing di Sepanyol selepas cemerlang di bumi Turki, kita sudah mengadakan perbincangan di peringkat kejurulatihan.

"Kita juga sudah mengenal pasti beberapa kawasan yang sesuai untuk pelumba bersaing di peringkat Eropah kerana perlumbaan di sana begitu berbeza berbanding Asia terutama daripada segi rentak perlumbaan.

"Kita pilih Sepanyol sebab altitud selain perlumbaan di negara berkenaan begitu mencabar, lagipun untuk bersaing di peringkat Eropah, kita perlu ada kekuatan terutama dari segi pelumba dan keseluruhan pasukan," katanya.

Berdasarkan kedudukan semasa dalam benua, TSG kini berada di kedudukan kedua di belakang New Zealand, kejayaan itu begitu membanggakan kerana ada pasukan dari Malaysia boleh bersaing di peringkat Eropah.

Manakala ranking dunia pula, TSG kini berada di kedudukan 32 daripada 214 pasukan bertanding. Musim lalu pasukan itu menamatkan saingan di tempat ke-31dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 9:36 PM