Mohd Zamri Saleh
Mohd Zamri Saleh
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kapten Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Saleh menyasarkan kedudukan podium dalam siri perlumbaan Jelajah Thailand yang bermula hari ini.

Bagaimanapun Zamri akui tugas getir bakal dilaluinya bersama rakan sepasukan dalam misi memburu kejayaan kerana perlu bersaing dengan ramai lagi pelumba handalan dunia.

Namun katanya, kejohanan yang berlangsung selama enam hari itu memberi peluang kepada pasukan TSG memungut mata bagi mengekalkan status selaku pasukan nombor satu Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Siri Jelajah Thailand akan bermula di Songkhla dan berakhir di Patthalung dengan jarak keseluruhan 145.8 kilometer.

"Saya akui laluan mencabar bagi kami, tapi saya percaya jurulatih sudah mengkaji laluan sepanjang enam peringkat perlumbaan itu dan kami berpeluang jika mampu memperagakan aksi terbaik.

"Jadi sasaran peribadi saya sudah tentu untuk memburu podium walaupun saingan itu dilihat getir terutama cabaran pelumba lain dari pasukan Eropah yang pastinya mempunyai strategi tersendiri untuk memburu podium selain banyak perubahan dalam barisan pelumba mereka," katanya ketika dihubungi.

Selain Mohd Zamri, tiga lagi pelumba tempatan yang membawa cabaran TSG pada kejohanan bertaraf 2.1 UCI itu iaitu adiknya, Mohd Harrif, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Nur Aiman Mohd Zariff.

Turut bersaing dua pelumba import iaitu Sainbayar Jambaljamts dari Mongolia dan pelumba Singapura, Goh Choon Huat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 10:43 AM