HARRIF (tengah) dan Zamri mahu menyertai perlumbaan di Turki. FOTO NSTP
HARRIF (tengah) dan Zamri mahu menyertai perlumbaan di Turki. FOTO NSTP
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pelumba adik-beradik pasukan Terengganu Cycling Team (TSG), Zamri dan Harrif Saleh meletakkan harapan tinggi agar dapat melepaskan 'gian' dalam siri perlumbaan pertama kalendar berbasikal TSG di Turki pada Februari depan.

Justeru pelumba senior TSG itu berharap Jabatan Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat memberi pelepasan kepada pasukan untuk berkayuh selepas sekian lama tidak beraksi di luar negara.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac tahun lalu, kami hanya berlatih dan beraksi dalam negara, jadi musim ini kami berharap Jabatan Imigresen dan KDN dapat membenarkan kami menyertai kejohanan di Turki bulan depan.

"Kejohanan ini penting buat kami untuk memburu mata dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kerana pihak pengurusan menyasarkan sekurang-kurangnya kami berada di kelompok tiga terbaik.

"Lagipun pembatalan Le Tour de Langkawi sudah pasti meleburkan impian kami untuk memperbaki kedudukan di peringkat Asia," kata Harrif.

Nada sama juga diluahkan abangnya, Zamri yang berharap dapat menyertai siri perlumbaan di Antalya, Turki selepas hampir setahun suram dalam perlumbaan antarabangsa.

Pelumba berusia 37 tahun percaya kebenaran itu akan diperolehi memandangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sudah memberikan 'lampu hijau' kepada TSG untuk terbang ke Turki.

"Apabila tidak dapat menyertai perlumbaan sejak Mac tahun lalu berikutan pandemik Covid-19, ia sekali gus menjejaskan kedudukan TSG untuk mengutip mata dalam UCI.

"Jadi impian kami musim ini mengharapkan dapat menyertai perlumbaan di luar negara untuk kami mengutip mata dan mengelak keciciran mata lebih jauh dengan pencabar lain untuk memburu ranking lebih baik biarpun sasaran pihak pengurusan kedudukan tiga terbaik.

"Saya juga percaya 14 pelumba yang membarisi TSG musim ini termasuk enam import dan bekas pelumba TSG, Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff mampu menghadiahkan kedudukan yang terbaik selain menjadi pencabar utama dalam kejohanan," katanya yang mengharapkan tiga perlumbaan di Turki nanti mampu mengutip lebih banyak mata.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood berkata, setakat ini pihaknya belum mendapat perkhabaran berita mengenai kelulusan pasukan menyertai kejohanan di Turki.

"Namun kami mengharapkan dapat kelulusan seberapa segera bagi membolehkan kami melakukan persiapan sebelum bertolak pada 1 Februari depan," katanya.

Selain Zamri, Harrif dan Aiman, TSG turut mempertaruhkan sembilan lagi pelumba berpengalaman iaitu Afiq Huznie Othman, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Wan Abdul Rahman Hamdan, Irwandie Lakasek, Mohd Shahrul Mat Amin, Goh Choon Huat, Metkel Eyob, Carlos Quintero, Artem Ovechkin, Youcef Reguigui dan Robin Jurado Lopez.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 2:04 PM