CHE Ku Mohd Izmuddin yakin TSG mampu mengekalkan gelaran nombor satu jelajah Asia. FOTO MALIK MUHAMAD
CHE Ku Mohd Izmuddin yakin TSG mampu mengekalkan gelaran nombor satu jelajah Asia. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: "Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) masih berada pada landasan terbaik untuk mempertahankan gelaran 'gergasi' Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) sekali gus mencipta kejayaan hatrik," demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Che Ku Mohd Izmuddin Che Ku Mahmood.

Musim lalu, pasukan berpangkalan di Terengganu yang ditubuhkan bermula tahun 2011 berjaya mengekalkan status tempat pertama jelajah Asia UCI selepas melakukannya pada tahun 2021.

Che Ku Mohd Izmuddin berkata, walaupun setakat ini TSG berada di ranking keempat Asia dengan berbaki lebih empat bulan lagi sebelum kalendar UCI bagi musim 2023 melabuh tirainya pada 24 Oktober depan, beliau tetap optimis pasukannya mampu mengekalkan status nombor satu Asia.

"Terkini TSG masih lagi dalam misi untuk mengutip seberapa banyak mata dalam beberapa siri perlumbaan, Insya-Allah pada masa terdekat, pelumba kita akan beraksi dalam Tour di Jepun dan Tour de Mauritius.

"Pada Julai pula, pelumba kita akan menyertai kejohanan kebangsaan dalam negara, dalam semua perlumbaan itu, kita akan cuba mengumpul seberapa banyak pungutan mata memandangkan TSG kini masih berada pada ranking keempat Asia di belakang pasukan dari Thailand, secara teknikal ada beberapa yang perlu diambil kira, kami ketinggalan tidak jauh di belakang pasukan dari Thailand iaitu kira-kira 70 mata, jadi kita akan cuba yang terbaik.

"Lagipun perlumbaan di luar negara setakat ini sekurang-kurangnya masih ada lima kejohanan lagi, kita tahu cabaran sangat tinggi pada semua pasukan yang terbabit, tapi kita tekad untuk mengekalkan gelaran nombor satu jelajah Asia sekali gus sejarah bakal tercipta dengan gelaran hatrik," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas Majlis Penghargaan dan Meraikan Rakan Media TSG di sebuah hotel terkemuka di negeri ini malam tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri Wan Sukairi Wan Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya.

Kalendar UCI pada tahun lalu, TSG menamatkan siri perlumbaan di ranking ketiga Benua dan nombor satu Asia, terkini pasukan terbaik Malaysia itu berada di kedudukan ke-11 Benua.

Perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) yang bakal berlangsung pada 23 September ini bakal menjadi medan terbaik buat pasukan itu untuk mengutip seberapa banyak mata dalam misi mengekalkan kejuaraan Asia.

Pada 2 Jun, enam pelumba TSG yang diketuai pemenang pingat emas Sukan Sea di Kemboja 2023, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki bakal berentap selama tiga hari dalam siri perlumbaan Kozagawa City International Road Race bertaraf 1.2 UCI dan Tour de Kumano bertaraf 2.2 UCI diikuti pada 6 hingga 11 Jun, lima pelumba TSG bakal beraksi di Mauritius dalam kejohanan Skoda Tour de Maurice bertaraf 2.2 UCI dan Courts Mamouth Mauritius Classic 2.1 UCI.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 3:56 PM