MASZIYATON bersyukur dapat mengekalkan kedudukan tiga terbaik.
MASZIYATON bersyukur dapat mengekalkan kedudukan tiga terbaik.
Aida Adilah Mat


BIARPUN menamatkan saingan di kedudukan kedua keseluruhan bagi kategori Wanita Terbuka dalam saingan Harian Metro Mountain Bike Grand Prix (HMMTBGP) 2017, Masziyaton Mohd Radzi tetap bersyukur kerana masih mampu mengekalkan kedudukan tiga terbaik.

Edisi HMMTBGP 2017 itu menyaksikan Masziyaton ketinggalan 10 mata di belakang juara keseluruhan dari pasukan Thailand All Star, Sarocha Kamalakhon yang meraih 270 mata untuk muncul juara dan bekas pelumba kebangsaan Noor Azian Alias di tempat ketiga (250).

Kata Masziyaton, keadaan fizikalnya yang agak kepenatan serta tersalah percaturan dilihat antara penyebab pelumba kelahiran Kedah itu gagal menandingi Sarocha.

Malah pada saingan siri terakhir HMMTBGP yang berlangsung di Sungai Buaya Selangor itu menyaksikan Masziyaton menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

“Litar di Sungai Buaya memang menarik dan saya sebenarnya boleh melakukan lebih baik lagi tapi mungkin kerana tidak cukup rehat dan keadaan diri yang penat antara sebab saya tidak dapat melakukan yang terbaik.

“Selain itu, saya sepatutnya menjaga kelibat Sarocha dan tidak boleh membiarkan dia mengatasi saya tapi kelalaian saya menyebabkan dia berjaya memintas mata,” katanya.

Masziyaton antara pelumba yang cukup dikenali dalam saingan HMMTBGP dan tidak pernah terlepas menyertainya sejak dari kali pertama dianjurkan dan pencapaian terbaiknya adalah pada 2014 apabila dinobatkan juara keseluruhan.

Kejayaan pelumba negara itu membolehkan dia membawa pulang RM1,400 berserta pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 3:58 PM