Bukit Jalil: Tekanan semakin kuat dirasai kem Harimau Malaya menjelang kejohanan Piala AFF di Singapura bermula Ahad ini, namun jurulatih Dollah Salleh seperti biasa, tetap tenang.

Desakan supaya pihak pengurusan pasukan termasuk jurulatih dirombak jika misi ke final kali ini gagal, disuarakan Penasihat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kelmarin, namun Dollah menyatakan tidak tergugat dengan tuntutan itu.

“Saya tak ada apa, saya lebih fokus kepada pasukan. Apa orang nak cakap saya tidak peduli. Tapi apa (kritikan) yang baik saya ambil, saya tidak akan terlepas pandang. Dalam diam saya akan ambil kritikan itu,” katanya semalam.

Prestasi buruk dalam perlawanan persiapan skuad kebangsaan baru-baru ini termasuk ketika kalah kepada Syria 0-3 dan Vietnam 1-3 mengundang rasa tidak puas hati ramai pihak. Mereka mula mempertikaikan kemampuan Dollah mengendalikan pasukan itu walaupun sedar bekas pemain kebangsaan itu baru dilantik Julai lalu.

Bagi Dollah, 51, tumpuannya kini lebih terarah kepada persiapan pasukan apatah lagi berdepan tugas mencabar bermain di atas padang rumput tiruan dalam dua perlawanan pertama menentang Myanmar dan Thailand bagi saingan Kumpulan B.

Menurutnya, beliau percaya Myanmar dan Thailand juga mengalami kesukaran bermain di stadium itu, namun apa yang membimbangkannya adalah kemungkinan pemainnya terdedah kepada risiko kecederaan dalam latihan di padang rumput tiruan MSN Bukit Jalil sebelum ke Singapura esok.

Dollah berkata, setakat ini hanya kapten Shukor Adan mengalami kecederaan ringan manakala pertahanan Mohd Afif Amiruddin dan pemain tengah Safiq Rahim kembali cergas.

Malaysia bakal berdepan Myanmar Ahad ini sebelum menentang juara tiga kali Thailand (26 November) dan juara bertahan Singapura (29 November) dalam kempen Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:04 AM