DOLLAH (kiri) harus  cari momentum sebelum saingan Piala AFF.
DOLLAH (kiri) harus cari momentum sebelum saingan Piala AFF.
Oleh Aziman Rosdi

Petaling Jaya: Kekalahan kepada Syria 0-3 pada aksi persahabatan antarabangsa kelmarin benar-benar mencabar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Biarpun ia sekadar perlawanan pemanas badan menjelang kempen Piala AFF di Singapura 23 November ini, kekalahan ketiga dalam empat perlawanan antarabangsa memberikan indikasi negatif mengenai skuad kendalian Dollah Salleh itu.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, persembahan longlai skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam itu amat mengecewakan, namun mereka tidak boleh berputus asa sebaliknya perlu menjadikannya sebagai titik kebangkitan di kejohanan sebenar.

“Peminat dan FAM sendiri kecewa dengan persembahan pasukan, tapi kita perlu fokus untuk pastikan pasukan ini akan membuat sesuatu sebelum Piala AFF bermula. Saya ada bertemu dengan pemain dan Dollah pagi tadi (semalam), ternyata semangat mereka masih membara. Kekalahan ini ada baiknya untuk mencabar kemampuan mereka bagi membuktikan sesuatu.

“Saya menyeru kepada semua penyokong dan pihak media untuk terus memberikan sokongan. Dollah serta pemain juga perlu menerima kritikan untuk berusaha 200 peratus lagi,” katanya.

Sejak mengambil alih tugas membimbing Harimau Malaya Julai lalu, skuad Dollah tewas 1-4 kepada Tajikistan, Indonesia 0-2 dan menang 4-1 ke atas pasukan kerdil Kemboja.

Namun Hamidin tetap menaruh keyakinan dengan misi ke final biarpun bakal berdepan Myanmar, Thailand dan Singapura dalam kempen Kumpulan B Piala AFF.

“Kita perlu terus berusaha kerana situasi ini pernah terjadi pada AFF (2010). Kita gagal dalam beberapa perlawanan persahabatan, kalah 1-5 kepada Indonesia di Jakarta, tapi kemudian muncul juara. Ia pernah terjadi,” jelasnya.

Sementara itu Hamidin turut memaklumkan penjualan baki tiket perlawanan Piala AFF Malaysia menentang Myanmar pada 23 November, Thailand (26 November) dan Singapura (29 November) akan dilakukan di Wisma FAM bermula hari ini jam 9 pagi hingga 5.30 petang.

Katanya, lebih kurang 500 tiket bagi setiap perlawanan belum habis dijual dan penyokong boleh membelinya sebelum diserahkan semula kepada Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) pada 20 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:10 AM