DOLLAH Salleh akan hanya mengumumkan senarai penuh 22 pemain skuad Harimau Malaya ke Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 selepas perlawanan persahabatan menentang Vietnam, Ahad ini.

Beliau berkata, langkah itu diambil kerana mahu menilai status kecederaan dua pemain sayap, R Gopinathan dan pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak.

Malaysia akan memulakan cabaran Kumpulan B di Singapura daripada 23 hingga 29 November ini.

“Khidmat Gopi dan Aidil memang kita perlukan tapi kalau cedera, saya terpaksa menggugurkan nama mereka. Jadi sebab itu, saya tidak berani untuk buat keputusan lebih awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sebelum berlepas ke Vietnam bersama skuad negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dollah tidak terlalu memikirkan kritikan pedas dilemparkan segelintir penyokong tempatan berikutan persembahan hambar skuad Harimau Malaya dalam beberapa aksi persahabatan termasuk diaibkan 3-0 kepada skuad Bawah 23 (B-23) Syria di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

“Saya tidak khuatir dengan perkara ini (kritikan peminat) kerana saya begitu fokus dengan persiapan pasukan dan saya percaya kita akan melakukan sesuatu nanti pada kejohanan ini,” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan menentang Vietnam di Hanoi, Ahad ini sebelum membuka kempen Piala AFF Suzuki dengan menentang Myanmar pada 23 Nov diikuti Thailand (26 November) dan tuan rumah Singapura, pada 29 November ini.

Sementara itu, pemain tengah, Safiq Rahim merayu kepada penyokong tempatan supaya terus memberikan sokongan padu kerana yakin pemain sentiasa mempamerkan aksi terbaik dalam mana-mana perlawanan yang dihadapi.

“Sekarang ini kita tidak boleh cakap mengenai prestasi jurulatih (Dollah) kerana beliau baru mengambil alih pasukan kebangsaan.

“Bagi saya, berikan masa kepada jurulatih dan kita sebagai pemain kena tunjukkan sesuatu untuk membantu jurulatih menaikkan kembali prestasi pasukan kebangsaan,” kata pemain kelab Johor Darul Ta’zim itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 10:12 PM