SKUAD negara jalani latihan persediaan.
SKUAD negara jalani latihan persediaan.
Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kapten skuad Harimau Malaya Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak percaya aksi di padang rumput tiruan di Stadium Jalan Besar, Singapura memberi sedikit kelebihan berbanding dua lagi pencabar mereka Thailand dan Myanmar bagi kempen peringkat Kumpulan B Piala AFF bermula 23 November ini.

Stadium Jalan Besar yang hanya mempunyai kapasiti 8,000 penonton menjadi venue kedua kejohanan itu selepas tuan rumah Singapura mengesahkan padang stadium baru, Stadium Nasional, Kallang tidak berada pada tahap terbaik dan tidak boleh digunakan untuk dua perlawanan sehari.

Biarpun bermain di atas padang rumput tiruan bukanlah kegemaran anak buah Dollah Salleh, namun sekurang-kurangnya pengalaman mereka menentang Lions XII dalam saingan Liga M di Stadium Jalan Besar selama tiga musim boleh dijadikan sedikit bekalan apabila turun menentang Myanmar pada 23 dan Thailand 26 November ini.

“Bagi saya dan pemain lain sudah agak biasa bermain di Stadium Jalan Besar kerana beraksi menentang Lions XII di sana.

“Mungkin kita ada sedikit kelebihan berbanding Thailand dan Myanmar apabila bermain di padang rumput tiruan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Sebagai persediaan tambahan, Dollah yang mengumpul 25 pemain bagi sesi latihan pusat di Johor Bahru turut mengadakan latihan di Stadium Kluang yang menggunakan padang rumput tiruan kelmarin.

Aidil yang beraksi di posisi pertahanan tengah menganggap dua perlawanan awal dengan juara pusingan kelayakan Myanmar dan juara tiga kali Thailand cukup penting sebelum mereka membuat perhitungan dengan juara bertahan Singapura di Stadium Nasional pada 29 November untuk mencari tiket ke separuh akhir.

“Kami perlu cuba mendapatkan kemenangan dalam dua perlawanan itu bagi mengelakkan lebih tekanan apabila berdepan pasukan tuan rumah Singapura pada perlawanan terakhir kumpulan,” kata pemain Johor Darul Ta’zim itu.

Sebelum bertandang ke Kota Singa pada 20 November ini, Harimau Malaya akan turun dalam aksi pemanas badan menentang Syria di Stadium Shah Alam pada 11 November dan Vietnam di Hanoi (16 November).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:07 AM