Singapura: “Saya sudah terbayang kemenangan,” kata Dollah sebaik tiba di Singapura semalam bagi sesi latihan pertama menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF menentang Myanmar di Stadium Jalan Besar, esok.

Mungkin ungkapan disuarakan pengendali negara itu secara berseloroh, namun nada keyakinannya itu pasti membangkitkan semangat pemain selepas persiapan mereka terjejas dengan keputusan buruk dalam aksi persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Anak buat Dollah tewas empat daripada lima perlawanan antarabangsa termasuk kalah kepada Syria 0-3 dan Vietnam 1-3.

Kemenangan ke atas Myanmar, juara pusingan kelayakan Piala AFF yang dikendalikan bekas jurulatih Singapura Radjoko Avramovich penting untuk Malaysia meneruskan kempen sukar Kumpulan B bersama Thailand dan Singapura.

“Pemain kini berada pada tahap terbaik selepas keletihan ketika melaporkan diri untuk latihan pusat. Semua pemain bebas daripada kecederaan dan saya tidak ada masalah menurunkan mana-mana pemain,” kata Dollah.

Bagi mengelak daripada strateginya dihidu lawan bekas jurulatih Polis Diraja Malaysia itu melakukan latihan tertutup termasuk tidak membenarkan media tempatan menyaksikan latihan itu.

“Kami sudah tidak ada banyak masa untuk membuat persiapan dan hari ini (semalam) kami akan melakukan latihan taktikal bagi menyekat Myanmar,” katanya.

Walaupun Dollah tidak dapat menguji padang rumput tiruan Stadium Jalan Besar semalam, beliau mengakui keadaan itu tidak menjejaskan persiapannya.

“Saya fikir kami boleh berlatih di Stadium Jalan Besar semalam, tapi diarahkan berlatih di sini,” katanya.

Dollah berdepan tekanan apabila diberikan sasaran tinggi layak ke final Piala AFF oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) biarpun mempunyai tempoh singkat mempersiapkan pasukan sebaik dilantik Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:07 AM