Oleh Amirul Haswendy Ashari


Tahun 2015 boleh dianggap tahun turun naik buat pengarah Osman Ali dengan tiga filem arahannya dipertaruhkan bermula dengan Pilot Cafe, Jwanita dan Sinaran.

Malangnya, Jwanita dan Sinaran gagal mendapat perhatian sewajarnya dari segi promosi dan pemasaran. Jwanita hanya mampu berpuas hati dengan kutipan RM1.5 juta manakala Sinaran pula kurang RM50,000.

Biarpun kecewa terpaksa berdepan dengan isu itu, Osman mahu kembali bangkit pada 2016 menerusi Langit Cinta yang dianggap agak bernasib baik kerana berada di bawah pengurusan yang betul.

“Berdasarkan respons pada malam tayangan khas lalu, saya mendapat reaksi pelbagai daripada penonton. Saya rasa lega sebab sekurang-kurangnya orang faham jalan ceritanya yang lebih lurus dan tidak terlalu berat.”

“Harapan saya ia akan mendapat maklum balas sama apabila ditayangkan kelak. Jujur saya risau dengan situasi industri, terutama dari sudut sambutan terhadap filem ditayangkan yang tidak konsisten,” kata Osman.

Osman akui seronok menghasilkan Langit Cinta kerana dapat melakukan perkara yang sudah lama ingin dilaksanakan. Apatah lagi penceritaan ala filem Melayu klasik menjadi pilihan penonton luar bandar.

Katanya, dia membesar dengan filem begitu dan Langit Cinta bukan dihasilkan untuk menjadikan penonton pandai dek ilmu filem kerana perlu memikir terlalu mendalam. Pun begitu, sebagai pengarah filem berilmu, elemen dan imej membabitkan metafora juga nilai estetika tetap diterapkan ke dalam karya terbarunya itu.

Ditanya mengenai apakah Langit Cinta sudah mengubat kekecewaan dalam Jwanita dan Sinaran yang hampir saja ‘meragut’ reputasinya sebagai pengarah yang ada nama? Osman ada jawapan sendiri.

Katanya, dua filem lalu memang agak mengecewakan kerana kurang promosi dan pemasaran, dek masalah bajet. Tambahan pula, salah satu filemnya yang ditayangkan sebelum ini kurang popular dari segi genre di Malaysia.

“Ketika situasi itu berlaku, saya sangat kecewa. Saya persoal, kenapa tidak mahu labur duit untuk promosi dan pemasaran selepas berhempas pulas menghasilkan filem yang memang bertujuan untuk dijual?

“Ia seolah-olah menggali lubang kubur sendiri. Selepas apa yang berlaku pada Jwanita, saya tak sangka kejadian sama berlaku pada filem Sinaran,” katanya.

Selepas apa yang berlaku, Osman mula berhati-hati apabila menerima tawaran mengarah filem daripada penerbit lain, terutama mereka yang tidak mahu membelanjakan duit untuk promosi dan pemasaran.

Katanya, soalan pertama akan ditanya sekiranya mendapat tawaran mengarah daripada penerbit lain adalah, berapa bajet untuk promosi dan pemasaran yang telah disediakan?

Jika pihak penerbit terbabit teragak-agak untuk menjawab, dia juga tidak teragak-agak untuk menolaknya kerana tidak mahu menjejaskan reputasi semua pihak terlibat kelak.

“Saya bersyukur sebab Langit Cinta mendapat sokongan sangat kuat daripada pasukan promosi dan pemasaran Astro Shaw yang sedari awal sudah merangka pelbagai pelan promosi terbaik.

“Antaranya muzik video, jelajah negara, trailer filem dan banyak lagi telah pun mereka laksanakan. Sebab itu saya yakin filem ini dapat pergi jauh sebaik saja ditayangkan Januari depan,” katanya lagi.

Nampak gembira dengan perkembangan filem terbaru arahannya itu yang membariskan lakonan bintang terkenal seperti Keith Foo, Fazura, Farid Kamil dan Siti Saleha yang akan menemui penonton pada 7 Januari 2016, Osman sempat mendedahkan perancangan untuk menghasilkan sebuah lagi filem Jwanita, tahun depan.

Katanya, Jwanita boleh dianggap satu jenama yang berjaya dihasilkan setanding filem seram lain, terutama di Indonesia (filem Sundal Bolong) dan Thailand (filem Nang-nak).

“Projek itu masih dalam peringkat perbincangan bersama pasukan saya termasuk Maya dan produksi Nuansa. Cuma kali ini, kami kena lebihkan pada pelan promosi dan pemasaran yang betul,” katanya.

Selain Langit Cinta, tahun depan turut menyaksikan satu lagi filem cinta arahan Osman yang diadaptasi daripada novel Kau Yang Satu, bakal ditayangkan. Ia dihasilkan produksinya sendiri Nuansa dengan kerjasama Global Station dan Astro Shaw.

Katanya, filem itu juga diharap mendapat sambutan kerana populariti novel itu setanding novel Ombak Rindu, tambahan pula ia membariskan pelakon hebat dan popular seperti Aaron Aziz, Izara Aisyah, Hisyam Hamid dan Soo Wincci. Kau Yang Satu bersifat pop dan lebih menyeronokkan untuk ditonton.

“Saya akan terus berusaha menghasilkan skrip dan filem yang boleh diterima ramai. Sepanjang tempoh itu (tahun 2016), jika ada tawaran baru, saya akan cuba buat.

“Saya tak nafikan ada yang mempertikai karya saya nampak terlalu ke arah komersial sampai lupa menghasilkan filem yang lebih berilmiah, tapi hakikatnya saya kena buat untuk terus hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2015 @ 5:03 AM