Pertembungan dua penjuru filem Melayu di pawagam sejak dua minggu lalu terbukti merugikan industri. Dari satu segi, kejayaan Polis Evo mendapat sambutan hebat penonton apabila kutipannya terus melonjak tinggi lebih RM9 juta selepas dua minggu tayangan sememangnya perkembangan yang sangat memberangsangkan.

Bagaimanapun, ketika Polis Evo terus melangkah jauh filem arahan Ghaz Abu Bakar ini terus meninggalkan jauh saingannya, Kapsul di belakang dan kini Jwanita dan Girlfriend Kontrak juga mengalamai nasib sama.

Bezanya, Kaspul seolah-olah menerima pukulan mati dek penangan Polis Evo manakala Jwanita dan Girlfriend terpaksa diheret untuk bersaing dalam permainan panjang ketika di gelanggang.

Sudah tentu ia merugikan apabila Jwanita hanya mencatat RM700,000 manakala Girlfriend Kontrak sekitar RM500,000 dalam tempoh seminggu tayangan.

Jika hanya satu filem ditayangkan pada 17 September dan satu lagi filem pada minggu berikutnya pada 24 September, sekurang-kurangnya Kapsul tidak terus mati sebaliknya masih mampu bernafas. Begitu juga nasib Jwanita dan Girlfriend Kontrak, mungkin jauh lebih baik berbanding kutipan diperolehi itu.

Sebagaimana dipaparkan dalam ruangan ini minggu lalu, nyata bukan langkah bijak menayangkan dua filem serentak dan tentu ia sangat dipersetujui produser kita. Bukan kerana mereka takut bersaing tetapi keadaan sekarang sangat tidak mengizinkan. Kekecewaan ini turut diluahkan penerbit Girlfriend Kontrak, Tengku Iesta Tengku Alaudin.

Nasib sama pernah dialami dua filem lain yang disiarkan serentak pada Aidilfitri baru-baru ini apabila Gangsterock berentap dengan Suamiku Jatuh Dari Langit. Kutipan kedua-dua filem itu sangat rendah walaupun ditayangkan pada musim perayaan dan cuti panjang.

Kalau dilihat barisan filem yang menanti tayangannya sepanjang tiga bulan terakhir 2015 juga hebat-hebat belaka. Cuma bimbang jika ada filem yang digarap secara tangkap muat dan sekadar bertarung di gelanggang tanpa persediaan rapi dari segi promosi, bimbang menjejaskan momentum yang dimulakan Polis Evo.

Ketika minat penonton berkobar-kobar mahu ke panggung akhir-akhir ini, melihat kualiti dihasilkan pembikin filem generasi baru, bimbang ia terbantut dengan karya tidak mantap.

Mampukah karya Ismail Jejaka melalui Pontianak Menangis terus membuatkan penonton mahu ke panggung selepas dihidangkan enam filem sepanjang September?

Sukar meramalkan nasib filem yang mula ditayangkan di pawagam sejak Khamis lalu kerana promosi dari mulut ke mulut tidak memberangsangkan, kecuali jika produsernya me­nyusun strategi promosi yang hebat.

Bagaimanapun, barisan filem seterusnya pada 8 Oktober dilihat kembali kuat seperti Rembat: Just Duit arahan Shamyl Othman. Ia dikatakan ada jiwa filem Mekanik arahan bapanya, Othman Hafsham yang masih disebut-sebut hingga kini.

Tambah pula dijayakan pelakon popular yang juga bintang Polis Evo, Shaheizy Sam dan Zizan Razak dan jalan cerita sesuai untuk ma­syarakat majmuk di Malaysia, semoga ia mampu menarik minat penonton bukan Melayu.

Filem genre seram, Badi arahan Eyra Rahman kembali pada 15 Oktober diikuti Juvana 2 (29 Oktober). Filem aksi arahan Faisal Ishak ini pasti dinanti-nantikan tayangannya selepas kejayaan Juvana dua tahun lalu.

Pada musim cuti sekolah pada November dan Disember pula, filem BoBoiBoy: The Movie pasti dinantikan kanak-kanak. Filem aksi superhero arahan Nizam Razak ini bakal ditayangkan di pawagam pada 26 November depan.

Bagaimanapun, sekali lagi sempena musim cuti sekolah, dua lagi filem bakal berentap di panggung apabila Sinaran arahan Osman Ali ditayangkan pada tarikh sama.

Filem muzikal ini menarik kerana diarahkan karyawan Malaysia tetapi penerbitnya dari Singapura manakala barisan pelakonnya menggandingkan nama tiga negara dari Malaysia, Singapura dan Indonesia, Lisa Surihani, Izara

Aishah, Syarif Sleeq, Nadiah M Din, Evan Sanders serta penampilan khas Ratu Jazz Malaysia, Datuk Sheila Majid.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:03 AM