FIRDAUS ketika dalam acara di Havoc Food Festival 3.0 baru-baru ini.
FIRDAUS ketika dalam acara di Havoc Food Festival 3.0 baru-baru ini.
Najiy Jefri


BIARPUN wajahnya kerap menghiasi kaca televisyen serta layar perak dengan lakonannya, namun kelibat pelakon Firdaus Nadxaman masih belum dikenali khalayak penonton sepenuhnya.

Namun, yang pasti lakonan bersahaja dipersembahkan Firdaus dalam setiap naskhah yang dibintangi memberi nilai tambah kepada dirinya untuk terus bertahan dalam industri seni.

Selepas memulakan kerjaya dalam bidang seni dengan menghiasi karya layar perak arahan sutradara Osman Ali, kini Firdaus mara mengatur langkahnya ke depan menceburkan diri dalam bidang penerbitan.

"Saya mula membabitkan diri dalam lakonan menerusi filem Jiwa Taiko arahan Osman. Sejak itu, langkah saya makin aktif dan banyak melakonkan watak pembantu dalam filem Sejoli, Langit Cinta, Pinjamkan Hati, Jwanita, Sinaran dan banyak lagi.

"Enggan terlalu berasa selesa, saya cuba mencari peluang untuk menjadi penerbit pula menerusi syarikat sendiri dikenali, Guam Teamwork Sdn Bhd.

"Malah, saya sudah aktif menerbitkan filem dan drama bersiri, antaranya Langsuir, Biar Aku Jadi Imammu, Tuhan Masih Ada dan banyak lagi," katanya ditemui di Stadium Shah Alam, baru-baru ini.

Tidak hanya terbabit dalam bidang seni, Firdaus kini meluaskan empayar perniagaan dibinanya dengan menganjurkan karnival makanan seperti Havoc Food Festival 3.0 baru-baru ini dan bertindak selaku Ketua Pegawai Eksekutif.

FIRDAUS bersama
FIRDAUS bersama

"Saya akui agak berani menceburi semua bidang untu

k menjana pendapatan. Saya hanya mahu dapatkan peluang untuk mencari rezeki dan mungkin lebih selesa dikenali sebagai usahawan selebriti.

"Apapun, saya tak sesekali akan melupakan bidang lakonan. Biarpun sering melakonkan watak pembantu, saya tak kisah kerana dapat banyak belajar daripada semua orang yang ada di set penggambaran itu," katanya lagi.

Tambah Firdaus, antara sebab utama dia menyediakan platform Havoc Food Festival 3.0

itu adalah kerana ingin memberi peluang kepada selebriti dan usahawan tempatan menambah mata pencarian.

"Saya tahu betapa sukarnya untuk mencari tawaran dalam bidang seni kini. Jadi, saya sediakan platform ini untuk membantu selebriti dan pada masa sama memberi peluang kepada peniaga tempatan

mempromosikan produk mereka.

"Alhamdulillah festival makanan ini mendapat sambutan yang menggalakkan. Saya seronok melihat ramai peniaga tempatan terutama masyarakat Melayu berjaya mendapat keuntungan yang menggembirakan mereka," katanya.

Menyentuh lanjut mengenai karnival Havoc Food Festival 3.0 itu lagi, Firdaus juga bersyukur acara niaga berkenaan mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Menariknya lagi, majlis perasmian Havoc Food Festival 3.0 dianjurkan itu dilakukan Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar. Hadir sama, barisan selebriti yang turut berniaga.

Acara yang memberi peluang besar buat peniaga tempatan menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19 itu, turut mengikut garis panduan pengunjung untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:11 AM