POLIS dan pasukan kecemasan di tempat kejadian.
POLIS dan pasukan kecemasan di tempat kejadian.

Las Vegas: Seorang maut dan puluhan lagi cedera selepas seorang wanita sengaja memandu keretanya ke atas kaki lima yang dipenuhi orang awam di Las Vegas berhampiran hotel yang menjadi lokasi pertandingan ratu cantik dunia, Miss Universe.

Wanita itu yang turut membawa kanak-kanak berusia tiga tahun di dalam kereta itu ditahan polis dan menjalani pemeriksaan untuk menentukan sama ada dia dipengaruhi alkohol atau dadah, kata Timbalan Ketua Polis Las Vegas City Brett Zimmerman.

Pelancong, Rabia Qureshi berkata, dia melihat beberapa mangsa terpelanting selepas kereta itu merempuh orang ramai.

“Kereta itu seperti bola boling dan orang yang dilanggarnya umpama pin,” katanya.

Zimmerman berkata, pemandu itu sengaja memandu keretanya atas kaki lima tiga kali ketika kejadian.

Dia tidak dapat memberikan motif perbuatan wanita itu, tetapi menolak ia berkait dengan keganasan.

Pihak berkuasa berkata, antara 26 hingga 36 orang cedera termasuk enam dalam keadaan kritikal. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 10:31 AM