Novak Djokovic. FOTO Agensi
Novak Djokovic. FOTO Agensi
AFP

London: Novak Djokovic hanya akan kembali beraksi di Wimbledon dengan misi memburu gelaran di mana proses pemulihan ekoran kecederaan lutut menunjukkan tanda positif.

Juara tujuh kali di All England Club itu terpaksa menarik diri di saingan suku akhir Terbuka Perancis menentang Casper Ruud awal bulan ini selepas mengalami kecederaan lutut.

Dia yang pada mulanya kelihatan tidak akan beraksi di Wimbledon bermula Ahad ini, sudah Kembali menjalani latihan selama dua jam sejak Isnin lalu.

Menurut pemain nombor dua dunia berusia 37 tahun itu, dia akan membuat keputusan sama ada akan menyertai atau tidak sebelum majlis undian Jumaat ini.

"Saya tidak datang ke sini untuk melengkapkan jadual," katanya kepada BBC.

"Jika keadaan saya bertambah baik, saya akan beraksi di sini. Jika tidak saya terpaksa menarik diri.

"Saya benar-benar hanya akan bermain jika saya tahu saya berada dalam keadaan yang cukup bagus untuk melangkah sejauh mungkin dalam kejohanan dan berjuang untuk kejuaraan, jadi itu misi saya.

"Ketika ini proses pemulihan berjalan lancar dan baik setiap hari, saya harap ia akan bertambah baik untuk saya mula beraksi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 12:07 AM