SAMANTHA dengan pakaian nasi lemak rekaan Brian Khoo. FOTO NSTP.
SAMANTHA dengan pakaian nasi lemak rekaan Brian Khoo. FOTO NSTP.
Georgie Joseph


WAKIL Malaysia ke pertandingan Miss Universe 2017, Samantha Katie James, 22, bakal menggayakan pakaian kebangsaan bertemakan nasi lemak rekaan Brian Khoo pada pertandingan ratu cantik itu hujung November nanti.

Pakaian yang melambangkan identiti Malaysia berkenaan dipilih untuk diperagakan Samantha pada edisi ke-66 pertandingan itu di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Pengarah kebangsaan Organisasi Miss Universe Malaysia, Datin Elaine Daly berkata, konsep itu dipilih kerana nasi lemak cukup kuat untuk digambarkan sebagai identiti negara ini.

“Evolusi pakaian kebangsaan sudah berubah. Sebelum ini kita sudah mengangkat tema tradisional seperti songket dan batik. Beberapa negara seperti Thailand dan Myanmar pula tampil kreatif mengenakan baju bertemakan kenderaan tuk tuk dan patung boneka yang menjadi identiti mereka.

“Tahun lalu, baju bertemakan menara berkembar Petronas yang digayakan Kiran Jassal menjadi viral serta-merta. Disebabkan itu tahun ini kami membawa nasi lemak pula yang cukup popular sebagai identiti negara kita,” katanya.

Fesyen itu menyaksikan Samantha mengenakan gaun putih yang digambarkan sebagai nasi lemak dan dihiasi dengan replika sambal, ikan bilis, telur rebus dan timun.

Sementara itu, bahagian belakangnya pula dihiasi dengan tiga daun pisang yang digambarkan sebagai pembungkus nasi lemak.

Samantha memenangi gelaran Miss Malaysia Universe pada Februari lalu selepas menewaskan 16 peserta lain.

Dengan kemenangan itu, dia menggalas tanggungjawab mewakili Malaysia di Miss Universe 2017.

Segmen pakaian kebangsaan adalah sangat dinantikan dan penting dalam pertandingan itu.

Setakat ini, Malaysia belum pernah memenangi gelaran pakaian kebangsaan terbaik dalam Miss Universe.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 6:17 PM