NIK Razeen
NIK Razeen
Meor Riduwan Meor Ahmad


PERBADANAN Stadium Malaysia (PSM) akan mengemukakan tuntutan bayaran ganti rugi bernilai RM11,000 kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membabitkan kerosakan 44 unit kerusi ketika perlawanan Malaysia menentang Indonesia bagi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, KL Sports City, pada 19 November lalu.

Berdasarkan kenyataan media Unit Komunikasi Korporat PSM hari ini, tuntutan dibuat kepada FAM selaku penganjur perlawanan yang membuat tempahan mengikut syarat dalam terma perjanjian sewaan venue.

“Seramai 75,000 penonton membanjiri Stadium Nasional yang terdiri daripada penyokong kedua-dua pasukan.

“Hasil pemeriksaan selepas perlawanan didapati 44 kerusi Stadium Nasional dirosakkan oleh penyokong Indonesia, mengakibat kerugian RM11,000 kepada PSM,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Nik Razeen Adam Daud turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap ditunjukkan penyokong pasukan bola sepak Indonesia.

“Kami memberikan sambutan baik untuk mengalu-alukan kedatangan penyokong pasukan bola sepak Indonesia ke Stadium Nasional.

“Walau bagaimanapun selepas apa yang berlaku, saya berasa amat kecewa sekali kerana sambutan baik yang kami berikan tidak dihargai oleh mereka,” katanya.

FAM sebelum ini dilaporkan menunggu arahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya badan induk itu tidak berpuas hati dengan insiden kekecohan berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dipetik berkata, pegawai FIFA turut berada di stadium dan melihat insiden yang berlaku.

Arena Metro melaporkan kekecohan semasa perlawanan berkesudahan Harimau Malaya melakar kemenangan 2-0 itu bermula apabila segelintir penyokong kedua-dua pasukan saling melakukan provokasi sebelum disusuli dengan adegan membaling botol dan suar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 10:58 PM